sukan

Son tak sabar nak balas dendam ke atas Malaysia

KUALA LUMPUR: Meskipun berbaki sembilan bulan lagi, pemain naturalisasi Vietnam, Nguyen Xuan Son sudah tidak sabar untuk membalas dendam terhadap Malaysia susulan kekalahan besar 0-4 skuad Naga Emas kepada Harimau Malaya, 10 Jun lalu.

Kekalahan dalam aksi kedua Kumpulan F kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Nasional, Bukit Jalil adalah yang pertama dialami Vietnam berdepan Malaysia dalam tempoh 11 tahun dan ia meninggalkan impak besar terhadap pasukan di ranking 109 dunia itu.

Kedua-dua pasukan bakal bertembung sekali lagi pada aksi terakhir Kumpulan F di gelanggang Vietnam pada 31 Mac tahun depan dan perlawanan itu dijangka menjadi penentu pasukan yang akan layak ke Piala Asia 2027.

Son yang tidak berada dalam skuad Vietnam ketika berdepan Malaysia, 10 Jun lalu kerana masih dalam proses pemulihan daripada kecederaan menulis ’31 Mac 2026′ di laman Instagram miliknya selepas perlawanan itu.

Menerusi laporan media Vietnam, VNExpress, Son menjelaskan bahawa dia memuat naik tarikh itu di Instagram kerana mahu kembali beraksi bersama Naga Emas dan membalas dendam terhadap Harimau Malaya.

Penyerang berusia 28 tahun itu menyifatkan kekalahan besar kepada Malaysia sebagai keputusan yang tidak dapat diterima oleh pasukan Vietnam dan seluruh penyokong.

“Menang dan kalah adalah sebahagian daripada permainan. Namun, seperti orang lain, saya juga berasa kecewa dan sedih apabila memikirkan mengenai perlawanan itu. Saya semakin bersemangat untuk kembali dengan lebih kuat demi membantu pasukan,” katanya.

Malaysia kini mendahului saingan Kumpulan F dengan mengumpul enam mata, tiga mata di depan Vietnam dan Laos manakala Nepal di kedudukan tercorot tanpa sebarang mata.

sumber:- BH

Berdasarkan format pertandingan, hanya juara kumpulan yang akan merebut tiket ke pusingan akhir Piala Asia 2027 di Arab Saudi.