KUALA LUMPUR: Beregu campuran profesional negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie memulakan kempen di Terbuka India dengan langkah kanan apabila mara ke pusingan kedua, hari ini.
Pada perlawanan pusingan pertama di Arena Indira Gandhi itu, pasangan nombor empat dunia itu tidak bermasalah untuk menyingkirkan beregu Indonesia, Rivaldy Rinov-Lisa Ayu Kusumawati straight set 21-17, 21-17 dalam tempoh 37 minit.
Mengakui tidak berada di tahap terbaiknya sejak beberapa bulan lalu, Shevon yang mengalami masalah kesihatan di Terbuka Malaysia minggu lalu berkata, pujian harus diberikan kepada pasangannya yang mengawal gelanggang dengan baik.
“Sejak beberapa bulan kebelakangan ini, pujian harus diberikan kepada rakan sepasukan saya kerana dia melakukan tugas dengan amat baik mengawal keseluruhan gelanggang.
“Jadi kerana itu, saya perlu cuba untuk meningkatkan kembali permainan saya, perlu konsisten jika mahu pergi lebih jauh kerana ketika ini saya masih belum berpuas hati dengan permainan saya.
“Keadaan cuaca yang sejuk juga membuatkan kami perlu menyesuaikan diri dengan pantas. Sekalipun keadaan agak sama setiap tahun, tetapi saya masih memerlukan masa terutama untuk memanaskan badan.
“Syukur apabila rakan sepasukan saya tidak memerlukan masa yang lama untuk menyesuaikan diri jadi ia perkara yang bagus,” kata Shevon kepada BWF (Persekutuan Badminton Dunia).
Soon Huat dalam pada itu berkata pengalaman turut membantu mereka ketika menewaskan Rinov-Lisa yang baru pertama kali digandingkan di Terbuka India.
“Mereka pasangan yang baru saja digandingkan jadi masih banyak yang perlu mereka lakukan termasuk corak permainan dan sebagainya. Kami juga bermain dengan baik dengan kelebihan adalah pengalaman,” katanya.
Menanti Soon Huat-Shevon yang melangkah ke separuh akhir Terbuka Malaysia, minggu lalu itu adalah beregu Jepun, Watanabe Yuta-Taguchi Maya bagi penentuan tempat ke suku akhir.
sumber:-BH
Gandingan baharu Jepun itu pada pusingan pertama menewaskan satu lagi beregu profesional negara, Wong Tien Ci-Lim Chiew Sin 21-17, 21-15 dalam 36 minit.