KUALA LUMPUR: Beregu campuran profesional, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie dijangka menyertai kem latihan penuh skuad kebangsaan ke Kejohanan Badminton Berpasukan Campuran Asia (BAMTC) bermula Khamis ini.
Perkara itu dimaklumkan Nova Widianto dengan jurulatih beregu campuran negara itu berkata, pasangan ranking keempat dunia itu kini sedang menjalani latihan fizikal bersama pasukan profesional mereka di luar Akademi Badminton Malaysia (ABM).
“Saya mendapat maklumat daripada jurulatih fizikal yang Soon Huat-Shevon akan memulakan latihan fizikal hari ini. Untuk latihan di gelanggang, mungkin Khamis ini,” kata Nova selepas sesi latihan kem kebangsaan di ABM, hari ini.
BAMTC dijadual berlangsung di Qingdao, China minggu depan dengan Malaysia diletakkan dalam Kumpulan B bersama Indonesia dan Hong Kong dengan dua pasukan teratas dari setiap kumpulan akan mara ke suku akhir.
Selain Soon Huat-Shevon turut menggalas cabaran negara di Qingdao adalah satu lagi beregu campuran negara, Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin manakala barisan perseorangan lelaki diwakili Leong Jun Hao dan Justin Hoh.
K Letshanaa dan Wong Ling Ching pula menggalas tanggungjawab negara untuk perseorangan wanita manakala cabaran beregu lelaki diwakili Yap Roy King-Wan Arif Wan Junaidi dan Man Wei Chong-Tee Kai Wun.
Untuk aksi beregu wanita, cabaran negara digalas Teoh Mei Xing-Go Pei Kee dan Tan Zhing Yi-Cheng Su Hui.
Mengulas mengenai persiapan bagi Pang Ron-Su Yin menjelang kejohanan, Nova berkata, latihan berjalan seperti dirancang.
sumber:-BH
“Persiapan yang lebih bagus. Selepas Masters Indonesia ada rehat tetapi dalam satu minggu ini kami sudah menyertai latihan. Mudah-mudahan mereka lebih baik lagi untuk BAMTC,” katanya.