SKUAD hoki lelaki Speedy Tigers perlu mempamerkan karakter juara apabila tampil mempertahankan kejuaraan Piala Sultan Azlan Shah 2024 yang menyingkap tirai di Ipoh Sabtu ini.
Malah menurut Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan UiTM Shah Alam, Mohd Sadek Mustafa, edisi ke-30 kali ini juga bukan pentas pendedahan biarpun The Speedy Tigers dibarisi kombinasi pemain baharu dan senior.
Tegas Mohd Sadek, kejuaraan yang berlangsung di Stadium Hoki Azlan Shah itu juga merupakan masa terbaik bagi pemain-pemain mengangkat semula imej sukan tersebut.
“Ya, tidak dinafikan skuad negara berwajah baharu di bawah kendalian coach Sarjit Singh, namun inilah sebenarnya kekuatan semangat baharu kita apatah lagi beraksi di depan penyokong-penyokong sendiri.
“Penyokong-penyokong mahu melihat standard ranking ke-13 dunia pasukan negara dijelmakan di Piala Sultan Azlan Shah, itu sudah pasti.
“Jadi pemain-pemain yang diberikan tanggungjawab mengalas membawa nama negara perlu tampil dengan got nothing to lose,” katanya kepada Sukan Sinar pada Khamis.
Ditanya mengenai tekanan kepada skuad Speedy Tigers, Mohd Sadek menegaskan hoki merupakan sukan berprestasi tinggi berdasarkan pencapaian skuad negara sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
sumber:-SH
“Setiap sukan ada tekanan tambahan pula sukan berprestasi tinggi, pemain-pemain perlu lebih bijak untuk menguruskan tekanan masing-masing dengan baik bagi mencapai matlamat pasukan,” katanya.