SEREMBAN: Perlawanan Liga Super antara Sri Pahang FC (SFC) dengan Negeri Sembilan FC (NSFC) di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh, Sabtu ini dijangka bakal memberi petunjuk terhadap kedudukan ketua jurulatih NSFC, Azzmi Ab Aziz.
Kedudukan Azzmi selaku pengendali skuad Hobin Jang Hobin musim ini dikatakan sedang dinilai oleh pihak pengurusan kelab dan Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS) susulan aksi hambar skuad berkenaan dalam tiga aksi Liga Super dan Piala FA.
Pada aksi liga sebelum ini, NSFC tewas kepada Johor Darul Ta’zim ( JDT) 1-3, dan tunduk kepada Selangor FC, 0-4 serta kecundang kepada Kuala Lumpur (KL) City FC, 0-3.
Dalam aksi Piala FA pula, pasukan itu turut tewas kepada Selangor, 0-4, sekali gus tersingkir dalam saingan kalah mati.
Dalam tiga pertembungan berkenaan, kekalahan kepada KL City dilihat paling mengecewakan bukan saja kepada penyokong tetapi juga pegawai NSFC dan PBNS.
Ini berikutan aksi yang dipamerkan anak buah Azzmi dikatakan lebih teruk walaupun mereka beraksi di laman sendiri dan mendapat sokongan padu daripada penyokong.
Sehubungan itu, PBNS dan NSFC dikatakan memberi peringatan atau kata dua kepada pengendali berusia 44 tahun berasal dari Kuala Lumpur itu supaya pasukan bimbingannya bangkit dengan persembahan lebih baik dan mendapatkan keputusan positif pada perlawanan keempat Liga Super bertemu Sri Pahang, Sabtu ini.
Perkembangan itu dinyatakan sendiri Naib Presiden PBNS, Mustapha Nagoor ketika ditemui di Wisma Negeri, semalam.
Beliau yang juga Exco Pembangunan Belia dan Sukan Negeri Sembilan menjelaskan, pihak pengurusan kelab dan PBNS sudah mengadakan perbincangan dengan Azzmi berhubung prestasi pasukan.
“Pada awalnya beliau akan diberi peluang dalam dua aksi liga tetapi Azzmi sendiri meminta penilaian itu dibuat menerusi satu perlawanan iaitu pertembungan dengan Sri Pahang di Temerloh, Sabtu ini.
“Jika prestasi pasukan terus hambar dan berlarutan berkemungkinan ia akan memberi kesan kepada kedudukan dia (Azzmi) sebagai ketua jurulatih pasukan,” katanya.
Mustapha berharap pemain NSFC dapat bangkit dengan persembahan terbaik dan meraih kemenangan pada aksi Sabtu ini.
sumber:-BH
Ketika ini, NSFC berada di dasar Liga Super dan satu-satunya pasukan yang belum meraih sebarang mata selepas menamatkan tiga perlawanan selain melepaskan jumlah jaringan terbesar iaitu 10 gol.