sukan

Sri Pahang sasar penamat terbaik Liga Super

KUANTAN: Kelab Bolasepak Sri Pahang (SPFC) percaya Sri Pahang FC akan menamatkan kedudukan lebih baik sebaik kempen Liga Super berakhir April depan.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SPFC, Datuk Mohammed Suffian Awang berkata, kedudukan ke-11 liga ketika ini diharap mampu diperbaiki dengan berbaki lima perlawanan.

“Kelab mahu Sri Pahang mempertingkatkan prestasi untuk melonjakkan kedudukan memandangkan pasukan akan beraksi pada final Piala Malaysia 26 April depan.

“Prestasi terbaik bukan sahaja dapat memperbaiki kedudukan dalam liga, malah persiapan terbaik menjelang final piala berprestij itu,” katanya.

Berdasarkan rekod, selepas 18 perlawanan, Sri Pahang berada di kedudukan ke-11 liga dengan mengutip 17 mata.

Skuad Tok Gajah akan berdepan Terengganu FC (TFC) di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh, 27 Februari ini, diikuti Kuching City FC (4 Mac), PDRM FC 8 Mac, Kedah Darul Aman (KDA) FC (6 April) dan Perak FC (12 April).