Kuala Lumpur: Kelab Penyokong Bolasepak Selangor (SSFC) mendesak agar rombakan dilakukan dalam sistem pengurusan tertinggi kelab itu serta merta.
Desakan itu disuarakan Presiden SSFC, Muhammad Hairy Ibharim yang berharap Pengerusi Selangor FC (SFC) yang juga Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah dapat melakukan rombakan bagi memastikan kestabilan pasukan di landasan tepat.
“Kelab SSFC mewakili suara penyokong bola sepak Selangor FC ingin mendesak CEO (Ketua Pegawai Eksekutif) Selangor FC iaitu Dr Johan Kamal Hamidon dan Pengarah Teknikal Selangor FC, Datuk Shahril Mokhtar meletak jawatan dalam pengurusan Selangor FC.
“Desakan ini dibuat atas kegagalan pasukan Selangor FC meneruskan cabaran dalam kempen ACL II (Liga Juara-Juara Asia II) berserta prestasi pasukan yang dilihat terumbang ambing pada tahun ini,” katanya kepada Arena Metro.
SSFC yang juga kelab berdaftar yang sah di bawah Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) sejak 1988, akui sudah tiba masanya rombakan dilakukan bagi memberi laluan kepada individu lebih layak untuk mengisi posisi berkenaan.
“Kita sebenarnya ikut saluran yang betul menyampaikan hasrat agar pihak pengurusan dirombak sejak tahun lalu lagi.
“Tapi pihak pengurusan buat tak tahu saja, dan kini rata-rata penyokong terpaksa mengambil langkah seperti ini dengan mendesak secara terbuka agar rombakan dilakukan segera.
“Kita dah tersingkir dari ACL II di peringkat Asia, jadi janganlah pula kita gagal dalam pertandingan Liga Super. Perjalanan liga masih jauh, jadi perubahan kena dibuat sekarang supaya kita dapat selamatkan pasukan,” katanya.
Sejak 2019 di bawah pengurusan Johan selaku Setiausaha Agung FAS sebelum dilantik sebagai CEO kelab, pasukan yang penuh dengan lakaran sejarah gemilang itu masih gagal menjuarai apa-apa gelaran utama saingan tempatan.
Biarpun muncul juara Piala Cabaran pada musim lalu, ia dianggap kejohanan ‘kelas kedua’ yang tidak membawa makna besar buat juara 33 kali Piala Malaysia itu.