sukan

Stano dedah punca sebenar Sabah FC tewas

KOTA KINABALU: Pengendali Sabah FC, Martin Stano mengakui percaturannya meletakkan ramai pemain muda untuk membawa cabaran Sabah pada perlawanan akhir Liga Super musim ini tidak menjadi seperti yang diharapkan.

Katanya, keputusan yang memihak kepada Perak FC pada perlawanan di Stadium Likas malam tadi itu meranapkan sasarannya untuk menamatkan musim ini dengan kemenangan setelah berjaya mengembalikan kedudukan di tangga ketiga liga dalam perlawanan sebelum ini.

“Ini perlawanan akhir kita selepas menempuh musim yang panjang, bermula pada Januari tahun lalu dan baru tamat tadi (malam tadi). Sudah tentu kita mahu menamatkannya dengan kemenangan tetapi kita tidak bernasib baik hari ini.

“Selepas mendapat tangga ketiga pada perlawanan lalu, kita mahu memberi peluang kepada beberapa pemain tempatan, tapi dari mula lagi persembahan pasukan kita agak lemah, kurang kualiti dan agak berhati-hati,” kata Stano.

Dalam aksi malam tadi, kapten Sabah, Rawilson Batuil menghadiahkan gol percuma 1-0 kepada pasukan pelawat selepas cubaannya membantu menyelamatkan gawang pasukan daripada dibolosi bertukar menjadi jaringan pada minit ke-27.

Jaringan yang mengecewakan itu ditambah lagi layangan kad merah kepada pertahanan Sabah, Dinesh Rajasingam apabila kakinya yang diangkat tinggi terkena muka pemain Perak pada minit ke-41 mengundang kedukaan buat penyokong Sabah.

Stano mengakui aksi pemain Sabah malam tadi tidak selincah yang diharapkan, menyebabkan Sang Badak gagal mencipta peluang sepanjang 20 minit pertama perlawanan.

“Kita dibolosi satu gol, dilayangkan kad merah dan sudah tentu ia menjadikan permainan kita bertambah sukar apabila mahu melawan balik selepas itu,” katanya.

Bagaimanapun, beliau tetap memberi ‘tabik’ kepada anak buahnya yang berusaha mengubah kedudukan pada separuh masa kedua walaupun hanya dapat mempertahankan gawang daripada dibolosi sekali lagi.

“Walaupun dilayangkan kad merah, maksud saya pada separuh masa kedua, kita membuat beberapa perubahan dan ia nampaknya membuahkan hasil.

“Kita bertarung hingga ke akhir, kita mencipta peluang yang besar pada awal babak kedua, kita hampir menyamakan kedudukan tetapi malangnya kita gagal.

sumber:- BH

“Namun, saya tabik semua pemain yang berjuang hingga akhir dan saya berharap dapat bertemu mereka semula pada musim akan datang,” tambahnya.