SEREMBAN: Desas desus mengaitkan bekas peledak Harimau Muda, Luqman Hakim Shamsudin dengan Negeri Sembilan FC (NSFC) bagi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2025-26, terus diperkatakan peminat dan penyokong pasukan itu.
Namun, sama ada ia benar atau sebaliknya, belum dapat dipastikan dan masih menjadi tanda tanya.
Sehingga kini tiada pengumuman rasmi daripada pihak pengurusan NSFC mengenai kemungkinan kehadiran Luqman Hakim bersama skuad Hobin Jang Hobin bagi musim baharu bermula Ogos depan.
Laporan di media sosial penyokong Negeri Sembilan, seolah-olah memberi gambaran jelas bahawa pemain yang beraksi dengan beberapa kelab bola sepak luar negara itu, bakal berhijrah ke bumi negeri adat Perpatih.
Malah, bekas kapten pasukan Kelantan, Mohd Badhri Radzi atau Piya dikatakan turut mengucapkan selamat berjaya kepada Luqman Hakim seperti dipaparkan di laman sosial penyokong berkenaan.
Media sebelum ini turut melaporkan mengenai Luqman Hakim dikatakan akan menyertai pasukan Negeri Sembilan meskipun beberapa pasukan lain antaranya Selangor FC dan Terengganu FC juga mahu mendapatkan khidmat pemain terbabit.
Situasi itu membuatkan ramai penyokong pasukan Negeri Sembilan kelihatan tidak sabar menantikan kemunculan pemain terbabit.
sumber:- BH
Luqman Hakim pernah beraksi bersama beberapa kelab luar negara seperti KV Kortrijk (Belgium), Nardvik (Iceland) dan YSCC Yokohama (Jepun) sebelum kembali ke Malaysia selepas kontraknya bersama kelab itu dilaporkan berakhir 30 Jun ini.