KUALA LUMPUR: Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Selangor FC (SFC), Datuk Seri Dr Shahril Mokhtar memberi bayangan betapa beliau akan melepaskan jawatannya dalam pasukan itu dalam masa terdekat.
Ini selepas beliau mahu memberi tumpuan sepenuhnya terhadap dunia korporat susulan pelantikannya sebagai Pengarah Eksekutif baharu Destini Bhd berkuat kuasa 4 Disember 2025.
“Saya rasa mungkin sudah sampai masanya untuk saya tinggalkan SFC dan saya sedang memikirkan perkara ini secara mendalam. Mungkin ada individu lain yang boleh memberi nilai tambah dan idea baru kepada SFC.
“Sudah lebih enam tahun saya membantu pasukan, jadi mungkin ada baiknya insan lain pula diberi peluang untuk membantu Ketua Pegawai Eksekutif (CEO),” kata Shahril.
Sebagai rekod, Dr Shahril bukanlah individu yang calang-calang memandangkan beliau memiliki reputasi besar dalam dunia korporat.
Beliau pernah berkhidmat di beberapa syarikat terkemuka antaranya Maybank, PwC Malaysia, British American Tobacco (M) Bhd, Penerbangan Malaysia Bhd, RapidKL dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).
Beliau juga pernah berkhidmat bersama Prasarana Malaysia Bhd sebagai Pengarah Urusan Kumpulan sebelum dilantik CEO Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp).
Dr Shahril kini mempengerusikan West River Berhad, EVD Berhad, Inspace Creation Berhad, dan UTM Holdings Sdn Bhd selain memegang beberapa jawatan pengarah dalam syarikat swasta.
Namun, atas dasar cinta kepada bola sepak, beliau akan turut menyumbang khidmatnya dalam Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) bagi memastikan arena bola sepak terus berkembang di negeri itu.
“FAS tidak begitu sibuk, hanya sebagai Timbalan Presiden dan Bendahari. Jadi saya rasa mungkin akan kekal di situ,” katanya.