sukan

Sukan Asia Aichi-Nagoya: Sze Fei-Izzuddin tekad kembali bangkit

Beregu lelaki negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani tekad bangkit dalam saingan individu badminton Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 selepas kekalahan dalam acara berpasukan lelaki, kelmarin.

Beregu lelaki negara itu tidak mahu menjadikan kekalahan kepada pasangan nombor dua dunia dari Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Shohibul Fikri sebagai penghalang dalam usaha merealisasikan sasaran memenangi pingat emas pada temasya kali ini.

Sze Fei-Izzuddin yang menghuni ranking keenam dunia tewas 15-21, 21-19, 10-21 dalam aksi berpasukan, namun menganggap keputusan itu sebagai pengajaran penting untuk memperbaiki kelemahan sebelum saingan individu bermula esok.

Sze Fei berkata, mereka kurang berpuas hati dengan persembahan sendiri terutama pada set ketiga selepas melakukan terlalu banyak kesilapan mudah yang memberi kelebihan kepada lawan.

“Saya rasa kurang puas hati terutama pada set ketiga. Dalam perlawanan ini kami melakukan terlalu banyak kesilapan mudah.

“Banyak perkara perlu diperbaiki, mungkin dari segi fokus dan pergerakan. Itu yang kami perlu beri lebih perhatian,” katanya.

Izzuddin pula mengakui Fajar-Shohibul Fikri beraksi lebih baik, namun percaya kekalahan itu menjadi panduan untuk mereka tampil lebih bersedia dalam saingan individu.

“Memang agak kurang memuaskan dan lawan bermain dengan sangat baik dalam perlawanan itu,” katanya.

Sze Fei-Izzuddin hadir ke Sukan Asia dengan keyakinan tinggi selepas melalui musim cemerlang, termasuk menjuarai Terbuka Indonesia Super 1000 dan Masters Indonesia Super 500 tahun ini.

Mereka turut melangkah ke suku akhir Kejohanan Dunia di New Delhi bulan lalu selain menjadi antara beregu yang berjaya menewaskan pasangan nombor satu dunia dari Korea Selatan, Kim Won Ho-Seo Seung Jae pada final Terbuka Indonesia, Jun lalu.

Kali terakhir Malaysia memenangi emas beregu lelaki adalah menerusi Koo Kien Keat-Tan Boon Heong pada Sukan Asia Doha 2006.