sukan

Sukma 2024 : Kelantan buktikan ia bukan pasukan ‘paling daif’

KUCHING: Pasukan bola sepak Kelantan di Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak menerima pelbagai insentif termasuklah elaun dan sut pakaian lengkap sepanjang tempoh beraksi di temasya dwi-tahunan itu.

Malah, barisan mereka akan menerima duit poket tambahan setiap kali meraih kemenangan sekali gus menafikan skuad itu dianak tiri atau dibiarkan terkontang-kanting di Bumi Kenyalang.

Situasi terbabit disahkan Pengurus Pasukan Kelantan, Datuk Azmi Ariffin yang berkata, setiap pemain Kelantan mempunyai gaji atau elaun tetap berikutan mereka turut beraksi untuk skuad Piala Presiden.

Katanya, pasukan terbabit terlebih dahulu berada di Sibu untuk menjalani latihan susulan sebelum berangkat ke Mukah bagi mengharungi SUKMA sekali gus menolak tanggapan segelintir pihak bahawa Kelantan tidak melakukan persiapan rapi.

“Majlis Sukan Negeri Kelantan (MSNK) dan pengurusan pasukan mengambil berat keadaan dan kebajikan pemain sepanjang tempoh menyertai SUKMA.

“Saya tidak faham bagaimana isu mengenai tiada pakaian dan elaun boleh timbul sedangkan setiap kali menang akan diberikan imbuhan.

“Pada masa sama, segala permintaan pemain termasuk menaikkan elaun kemenangan juga dipenuhi terutamanya selepas menundukkan Johor,” katanya.

Terdahulu, timbul isu bahawan Kelantan beraksi tanpa elaun, pakaian rasmi kontinjen dan sebarang bentuk bantuan, sehingga disifatkan sebagai satu pasukan paling ‘daif’ yang beraksi di SUKMA Sarawak.

Walaupun serba kekurangan, kejutan menewaskan pasukan Johor yang diperkuatkan dengan majoriti pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) II di suku akhir amat mengejutkan ramai pihak.

Sementara itu, Azmi berkata bahawa beliau akan mengadakan perjumpaan bersama ketua jurulatih untuk mendapatkan penjelasan mengenai isu dibangkitkan itu.

“Saya sedia maklum isu ini dibangkitkan jurulatih. Untuk pengetahuan, kami mengambilnya hanya dalam tempoh sebulan namun menyebar perkara tidak benar mengenai pasukan,” katanya.

sumber:-BH

Dalam aksi separuh akhir di Padang Majlis Daerah Dalat dan Mukah (MDDM), petang esok, Kelantan dijadualkan menentang Wilayah Persekutuan manakala juara bertahan, Terengganu akan bertemu Melaka di Stadium Mukah.