sukan

surat layang tersebut merupakan ‘fitnah’

PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin mengakui sedih berhubung satu surat layang yang menyerang pengurusan badan induk bola sepak itu.

Menurut Hamidin, beliau kecewa dengan perkara tersebut selain mendakwa ia seperti hendak menjatuhkan bola sepak Malaysia.

Malah, beliau turut menyifatkan surat tersebut merupakan fitnah dan tohmahan semata-mata selain datang daripada pihak yang mempunyai rasa tidak puas hati dengan kepimpinan tertinggi FAM.

“Saya sedih surat layang itu datang pada 10 malam terakhir Ramadan tapi kita kena tabah untuk menghadapinya. Kita tahu apabila surat layang ini keluar, netizen akan terus menghukum,” katanya dalam sidang akhbar selepas Kongres FAM ke-60 di Subang Jaya pada Isnin.

Sebelum ini, tular surat layang yang di hantar melalui e-mel kepada media mengenai salah guna kuasa dalam pengurusan FAM, gaji serta manfaat staf, isu membabitkan skuad Harimau Malaya dan projek Pusat Latihan Kebangsaan.

Hamidin berkata, FAM akan membuat laporan polis bagi mengelakkan isu surat layang tersebut menjadi lebih teruk.

“FAM juga sedang menimbang untuk membuat laporan polis berhubung surat layang tersebut kerana ia telah menimbulkan persepsi negatif terutamanya dalam kalangan peminat dan penyokong bola sepak tanah air dan juga antarabangsa.

sumber:-SH

“Kita juga akan cuba mendapatkan bantuan daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam mengesan dari mana sumber asal e-mel surat layang tersebut dan jika ia melibatkan staf FAM, siasatan dalaman turut akan dibuat,” katanya.