sukan

Syafiq Ahmad sah sertai DPMM FC

KUALA LUMPUR: Bekas penyerang kebangsaan, Syafiq Ahmad membuat langkah berani apabila sah menyertai kelab Brunei, DPMM FC bagi menghadapi saingan Liga Super Malaysia musim 2025/2026.

Perkara itu diumumkan secara rasmi menerusi laman sesawang DPMM FC, sekali gus mengesahkan desas-desus perpindahan yang sebelum ini berlegar di media sosial.

“Syafiq Ahmad, pemain JDT (Johor Darul Ta’zim) telah memutuskan untuk menyertai DPMM FC menjelang saingan Liga Super musim hadapan,” kata kenyataan rasmi kelab.

Syafiq, 30, sebelum ini dipinjamkan ke Kedah Darul Aman FC (KDA FC) bagi musim lalu dan mencatatkan 15 penampilan termasuk dua gol serta satu bantuan jaringan sepanjang kempen itu.

Menurut kelab berpangkalan di Bandar Seri Begawan itu lagi, penyerang kelahiran Pulau Pinang itu turut dipanggil menyertai skuad kebangsaan sebanyak dua kali sepanjang tahun lalu.

Langkah ke Brunei menjadikan Syafiq sebagai pemain Malaysia terbaharu yang mengikut jejak langkah pemain lain seperti Fairuz Zakaria dan Tommy Mawat Bada yang terlebih dahulu menyarung jersi DPMM.

Perpindahan ini dijangka menyuntik nafas baharu dalam kerjaya Syafiq yang pernah membantu JDT dan Kedah menjulang pelbagai trofi di pentas domestik.

Lebih menarik, Syafiq bakal bersaing dengan penyerang kebangsaan Indonesia, Ramadhan Sananta bagi merebut tempat sebagai ‘target man’ utama skuad kendalian DPMM musim depan.

Difahamkan, walaupun sudah mengikat dua penyerang tempatan, DPMM tetap berhasrat mendapatkan seorang penyerang import bagi memperkukuh lagi jentera serangan mereka.

Langkah itu dilihat sebagai strategi jangka panjang kelab berstatus ‘wakil tunggal Brunei’ dalam Liga Malaysia bagi memastikan mereka kekal kompetitif sepanjang musim.

sumber: HM

Bagi Syafiq pula, ini mungkin peluang terbaik untuk menghidupkan kembali kariernya di pentas lebih mencabar dan membuktikan dia masih berbisa meskipun tidak lagi menjadi pilihan utama di JDT.