sukan

Syafiq ingin ledak seberapa banyak gol

KUALA LUMPUR: Meledak seberapa banyak gol menjadi misi peribadi penyerang skuad kebangsaan, Syafiq Ahmad selepas kembali menyarung jersi Harimau Malaya.

Syafiq bagaimanapun menegaskan bahawa keutamaannya adalah membantu pasukan negara meraih kemenangan bermula dengan aksi menentang Filipina dalam Pestabola Merdeka 2024 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Rabu depan.

Selepas sudah lebih setahun tidak bersama Harimau Malaya, pemain Kedah Darul Aman (KDA) FC itu juga mahu membuktikan bahawa dirinya layak untuk berada dalam skuad kebangsaan.

Malah, dia sedia bersaing dengan beberapa pemain lain di posisi serangan terutama Darren Lok dan pemain naturalisasi, Romel Morales untuk merebut tempat dalam skuad utama Harimau Malaya.

“Bagi saya persaingan yang baik untuk kita tingkatkan lagi kualiti pasukan Malaysia. Sesiapa pun yang berada di posisi masing-masing perlu buktikan yang kita layak untuk berada dalam kem (Harimau Malaya).

“Misi peribadi saya sebagai penyerang sudah pasti saya mahu menjaringkan seberapa banyak gol. Tapi apa yang paling penting adalah saya dapat membantu pasukan, asalkan pasukan menang dalam setiap perlawanan,” katanya ketika ditemui media pada sesi latihan di Wisma FAM, hari ini.

Kali terakhir Syafiq beraksi bersama Harimau Malaya ketika aksi persahabatan antarabangsa menentang Hong Kong pada Mac tahun lalu.

sumber:-BH

Penyerang berusia 29 tahun itu turut mendapat panggilan skuad kebangsaan pada Mei lalu bagi kempen kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027, namun dia terpaksa digugurkan kerana masalah kecederaan.