KUALA LUMPUR: Keputusan dua pemain Harimau Malaya, Syamer Kutty Abba dan Adib Raop yang ‘dipinjamkan’ seketika oleh Penang FC bagi mengharungi aksi suku akhir pertama Piala Cabaran Liga Bolasepak Malaysia (MFL) berdepan PT Athletic FC bukanlah satu tindakan yang kelakar.
Malah, bekas pemain kebangsaan, Azlan Johar menyifatkan tindakan ini boleh menjadi contoh dan dianggap sebagai satu pengorbanan yang besar daripada pemain yang sedia untuk membantu kelab meskipun terikat dengan komitmen bersama skuad kebangsaan.
Jelas bekas pembantu jurulatih T-Team itu, kedua-dua pemain ini sudah tentu sedar mengenai keadaan fizikal dan kecergasan mereka sebelum membuat keputusan untuk beraksi bersama Penang FC hanya sehari sebelum menentang Timor-Leste bagi aksi Piala AFF 2024, malam ini.
“Bagi saya, perkara ini tidak kelakar kerana kalau saya ingat balik ketika saya bermain pada zaman 80an dahulu, beraksi dalam perlawanan berturut-turut adalah satu perkara biasa bagi kami.
“Ini kerana lebih kerap kita beraksi, ia akan meningkatkan lagi daya tahan kami. Apa yang dilakukan oleh Syamer dan Adib itu adalah contoh yang baik kepada pemain lain kerana mereka tahu mereka ada keutamaan juga kepada kelab walaupun beraksi bersama skuad kebangsaan.
“Memang pemain perlukan rehat sekurang-kurangnya 48 jam, jadi ini sebenarnya terserah kepada pemain itu sendiri. Apapun, saya tabik kepada pemain ini kerana kehadiran mereka memastikan kelab mereka mencapai kejayaan.
“Saya percaya walaupun mereka baru beraksi dengan Penang FC semalam, mereka akan tetap berikan 100 peratus komitmen untuk aksi berdepan Timor-Leste dan mereka tahu apa yang patut mereka lakukan,” kata Azlan.
Terdahulu, Syamer dan Adib mendapat peluang ‘memanaskan’ badan sehari sebelum menentang Timor Leste selepas mereka membarisi kesebelasan utama skuad ‘Harimau Kumbang’ untuk berdepan pasukan Liga 1 Semi Pro.
Kehadiran dua pemain itu jelas membantu skuad bimbingan Wan Rohaimi Wan Ismail untuk selangkah ke separuh akhir Piala Cabaran MFL selepas membelasah lawan 4-0 di Stadium Bandaraya.
sumber:-BH
Sebelum ini, tiga pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) iaitu Arif Aiman Hanapi, Matthew Davies dan Feroz Baharudin turut dipanggil pulang daripada skuad kebangsaan sebelum aksi Tier 1 menentang India, bulan lalu.