sukan

Syamer idam tambah koleksi kejuaraan

KUALA LUMPUR: Pemain tengah kebangsaan, Syamer Kutty Abba tetap ‘bernafsu’ untuk memburu kejayaan di Pestabola Merdeka 2024 meskipun sudah menjulang pelbagai kejuaraan di peringkat kelab bersama Johor Darul Ta’zim (JDT).

Ini membuktikan pemain yang dipinjamkan ke Penang FC bagi musim ini dapat mengekalkan mentaliti juara sekali gus bertekad untuk terus memberikan impak bersama skuad Harimau Malaya khususnya pada final Pestabola Merdeka 2024, Ahad ini.

“Bagus kalau dapat memenangi sesuatu yang peribadi, jadi saya harapa dapat menambah lagi (Pestabola Merdeka) dalam koleksi saya.

“Kami akan cuba memberikan yang terbaik dan memberikan permainan yang lebih kemas untuk pasukan negara,” katanya yang dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Perlawanan ketika menentang Filipina.

Sebagai rekod, pemain berusia 26 tahun itu meledak gol penyamaan buat skuad negara selepas menerima umpanan Feroz Baharudin ketika babak pertama berbaki dua minit.

Dalam perkembangan lain, Syamer turut mengakui masih banyak lagi yang perlu diperbaiki olehnya kerana dia masih belum berpuas hati dengan persembahan yang diperagakan pada musim ini.

“Saya berdepan detik sukar kerana kecederaan tetapi saya kembali dan jurulatih memberikan peluang untuk saya membuktikan yang saya boleh menunjukkan permainan yang baik buat pasukan.

“Tetapi saya tidak boleh katakan yang saya sudah kembali seperti sebelum ini kerana jujurnya, masih ada banyak ruang untuk penambahbaikan yang perlu saya lakukan.

sumber:-BH

“Saya perlu berkorban lebih banyak untuk pasukan, memikul lebih banyak tanggungjawab supaya kita dapat mengawal bahagian tengah dengan lebih baik,” katanya.