sukan

Syamer tekad hadiahkan Aksi Piala ASEAN buat Vicente

KUALA LUMPUR: Kapten Harimau Malaya, Syamer Kutty Abba menganggap saingan Piala ASEAN 2024 menjadi medan terbaik untuk skuad negara memberi hadiah perpisahan bermakna buat ketua jurulatihnya, Pau Marti Vicente.

Piala ASEAN yang akan bermula Ahad ini menjadi pentas terakhir buat Vicente bersama Harimau Malaya apabila beliau memutuskan untuk meninggalkan skuad negara selepas kejohanan itu.

Syamer menjelaskan semua pemain akan cuba memberikan aksi sebaik mungkin dalam setiap perlawanan bagi meraih pencapaian terbaik sebagai hadiah buat pengendali dari Sepanyol itu.

“Setiap orang tahu Vicente sudah lama dengan pasukan kebangsaan dan ia (perpisahan dengan Vicente) memberi impak kepada kami.

“Namun, kami harapkan kejohanan ini akan memberi satu hadiah perpisahan yang baik untuk beliau selepas apa yang beliau sudah sumbangkan kepada pasukan kebangsaan,” katanya.

Harimau Malaya berlepas ke Phnom Penh, pagi tadi untuk mengharungi aksi pertama Kumpulan A berdepan Kemboja di Stadium Olimpik, Ahad ini.

Syamer bersama Dominic Tan dan Syafiq Ahmad dipilih Vicente sebagai kapten pasukan Harimau Malaya bagi kempen Piala ASEAN 2024.

Syamer menyifatkan pemilihannya menjadi salah seorang kapten sebagai satu penghargaan dan bersedia mengambil tanggungjawab itu untuk memimpin Harimau Malaya meraih keputusan positif.

Pemain Penang FC itu berharap semua pemain dapat menyesuaikan diri secepat mungkin dengan idea dan perancangan jurulatih meskipun kesuntukan masa dalam melakukan persiapan terutama untuk berdepan Kemboja.

sumber:-BH

“Ini peluang untuk semua pemain membuat sesuatu kepada negara. Kami tahu yang kami tidak berpeluang untuk dapatkan semua pemain, tetapi apa yang ada ini kita hargai dan kami boleh beri sesuatu kepada pasukan kebangsaan,” katanya.