sukan

Sze Fei-Izzuddin janji akan bangkit minggu depan

Kuala Lumpur: “Saya rasa mereka lebih konsisten pada set terakhir.”

Itu pengakuan jujur pemain beregu lelaki profesional negara, Nur Izzuddin Rumsani, selepas dia dan pasangannya Goh Sze Fei tersingkir di pusingan pertama Terbuka Denmark 2025, semalam.

Pasangan negara itu terpaksa akur apabila tewas 13-21, 21-13, 14-21 kepada gandingan England, Ben Lane-Sean Vendy, dalam aksi tiga set yang berlangsung hampir sejam.

Menurut Izzuddin, lawan menunjukkan ketenangan serta keberkesanan pukulan di saat-saat genting untuk memastikan kemenangan menjadi milik mereka.

“Mereka berjuang dengan baik dan lebih tenang ketika mata-mata penting. Kami pula banyak hilang fokus di hujung set ketiga,” katanya.

Sementara itu, Sze Fei mengakui masih mencari rentak selepas kembali turun gelanggang sejak 19 September lalu (Masters China)

“Saya rasa mereka berada di tahap permainan yang sangat tinggi sekarang, tapi kami masih ada ruang besar untuk diperbaiki,” katanya.

Mengulas lanjut, Izzuddin berkata mereka berada dalam keadaan fizikal baik dan bebas kecederaan, namun perlu memperkemas aspek taktikal bagi menghadapi kejohanan seterusnya.

“Kami akan pulang, analisis semula kesilapan hari ini dan perbaiki. Fokus utama selepas ini ialah pada tiga pukulan pertama kerana itu antara kunci permainan kami,” ujarnya.

Terbuka Denmark adalah kejohanan pertama buat Sze Fei-Izzuddin untuk jelajah Eropah, dengan mereka dijadual meneruskan cabaran di Terbuka Perancis minggu hadapan.

Lane-Vendy berada pada tahap terbaik termasuk menjuarai Terbuka Artik minggu lalu selepas menumpaskan satu lagi pasangan negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik 21-18, 25-27, 21-17.