sukan

Sze Fei-Izzuddin kumpul RM1.85 juta dalam 5 bulan

KUALA LUMPUR: Beregu lelaki negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani enggan mendabik dada di sebalik pencapaian yang dilakar mereka setakat ini termasuk muncul juara Terbuka India, semalam.

Pasangan nombor dua dunia itu merangkul gelaran pertama musim ini selepas menewaskan juara Terbuka Malaysia dari Korea Selatan, Kim Wan Ho-Seo Seung Jae 21-15, 13-21, 21-16 dalam aksi final di New Delhi.

Kejayaan itu menyaksikan mereka menamatkan kemarau 11 tahun Malaysia bagi menjuarai Terbuka India selepas kali terakhir dilakukan bekas jaguh perseorangan lelaki negara, Datuk Lee Chong Wei pada edisi 2014.

Bagi acara beregu lelaki pula, kali terakhir Malaysia mengungguli acara itu adalah pada 2010 menerusi gandingan Mohd Zakry Latif-Mohd Fairuzizuan Mohd Tazari.

Terbuka India menjadi gelaran keempat buat Sze Fei-Izzuddin dalam tempoh lima bulan selepas menjuarai Terbuka Jepun, Terbuka China dan Terbuka Artik.

Pasangan itu turut muncul naib juara Jelajah Duni Akhir BWF di Hangzhou, China bulan lalu.

Menurut Izzuddin, mereka tidak mahu terlalu dibuai mimpi indah di atas kejayaan yang dilakar itu sebaliknya menegaskan yang perjalanan mereka masih panjang dan perlu bekerja lebih keras untuk melonjakkan prestasi.

Malah, dia dan Sze Fei tidak mahu terlalu memikirkan untuk menjadi pasangan nombor satu dunia kerana percaya perkara itu akan datang dengan sendirinya jika mereka terus fokus dan menampilkan persembahan terbaik dalam setiap kejohanan.

“Ia adalah sesuatu yang hebat dapat muncul juara di sini (di New Delhi) dan kami mahu kekalkan momentum ini.

“Fokus utama kami bukan untuk menjadi beregu nombor satu dunia tetapi kami mahu meningkatkan prestasi kami.

“Jika kami boleh bermain lebih baik, perkara lain akan datang dengan sendirinya,” kata Izzuddin kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Kemenangan di Terbuka India bukan sahaja menambah koleksi kejuaraan mereka tetapi turut membolehkan mereka menyambar hadiah wang tunai lumayan.

Selaku juara, Izzuddin-Sze Fei meraih AS$70,300 (RM316,797).

Hadiah berkenaan menyaksikan mereka kini sudah mengumpul keseluruhan kira-kira RM1.85 juta dalam tempoh hanya lima bulan selepas turut menjuarai Terbuka Jepun, Terbuka China, Terbuka Artik dan naib juara Jelajah Dunia Akhir BWF 2024.