KUALA LUMPUR: Beregu lelaki profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani dipaksa bekerja keras sebelum melepasi pusingan pertama Terbuka China 2024 di Changzhou, hari ini.
Diletakkan sebagai pilihan ketujuh kejohanan bertaraf Super 1000 Jelajah Dunia BWF (Persekutuan Badminton Dunia) itu, Sze Fei-Izzuddin memerlukan permainan tiga set sebelum menang ke atas wakil tuan rumah, Chen Bo Yang-Liu Yi.
Malah, gandingan yang memikul cabaran utama negara dalam kategori beregu lelaki susulan ketiadaan Aaron Chia-Soh Wooi Yik itu turut tewas 17-21 pada set pertama sebelum bangkit.
Tetapi selepas menang 21-12 pada set kedua, Sze Fei-Izzuddin sekali lagi diberikan tentangan sengit oleh Bo Yang-Liu Yi yang menghuni ranking ke-21 dunia sebelum menang 21-19 dalam perlawanan yang berlangsung selama 53 minit.
“Saya fikir ini bukan persembahan terbaik kami kerana kami agak tertekan pada set pertama tetapi lega dapat bangkit pada set kedua dan ketiga,” kata Izzudin kepada BWF.
Sze Fei dalam pada itu mengakui corak permainan terlalu berhati-hati menjadi antara punca pasangan China meraih kemenangan pada set pertama.
“Selepas kalah pada set pertama, kami cuba meningkatkan kembali permainan kami,” kata Sze Fei. “Kami bermain terlalu berhati-hati dan membuat banyak kesilapan mudah.
“Lawan kami bermain dengan amat laju dan kami cuba untuk mengimbanginya dan membalas kembali serangan mereka.
“Kami akan cuba fokus kepada persiapan kami bagi perlawanan selepas ini,” kata Sze Fei yang bersama Izzuddin mencipta kejutan menjuarai Terbuka Jepun 2024 pada bulan lalu.
Selain Sze Fei-Izzuddin, turut melepasi cabaran pusingan pertama adalah pasangan beregu negara, Arif Junaidi-Yap Roy King yang menang straight set 21-11, 21-12 kepada pasangan Amerika Syarikat, Chen Zhi Yi-Presley Smith.
Turut mara adalah pasangan Man Wei Chong-Kai Wun Tee yang menewaskan beregu China, Xie Hao Nan-Zeng Wei Han 21-17,21-19.
Begitupun, langkah satu lagi pasangan negara yang beraksi hari ini iaitu Low Hang Yee-Ng Eng Cheong tersekat selepas tewas kepada pasangan England, Ben Lane-Sean Vendy 21-18, 19-21, 15-21.
sumber:-BH
Sementara itu, dalam kategori beregu campuran, pasangan profesional negara, Goh Soon Huat-Shevon Lain turut melepasi pusingan pertama selepas menewaskan beregu Singapura, Terry Hee-Jessica Tan 21-13, 21-15.