KUALA LUMPUR: Beregu lelaki profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani hanya dipisahkan satu kemenangan untuk mencipta sejarah sebagai beregu lelaki pertama Malaysia menjuarai Terbuka Jepun sebanyak dua kali selepas mara ke final hari ini.
Dalam aksi separuh akhir di Gimnasium Metropolitan Tokyo, Sze Fei-Izzuddin menewaskan gandingan Taiwan, Liu Kuang Heng-Yang Po Han 21-19, 21-11 dalam tempoh 35 minit, sekali gus mengekalkan rekod tanpa kalah ke atas lawan berkenaan selepas turut menumbangkan mereka dalam laluan muncul juara tahun lalu.
Jika berjaya mempertahankan gelaran esok, Sze Fei-Izzuddin akan mengatasi pencapaian beregu legenda negara seperti Razif-Jalani Sidek (1986), Cheah Soon Kit-Yap Kim Hock (1998), dan Chan Chong Ming-Chew Choon Eng (2002) yang masing-masing pernah menjulang Terbuka Jepun sekali.
Selain itu, kejayaan di Tokyo juga akan menjadi gelaran kedua mereka musim ini selepas muncul juara Terbuka India Januari lalu.
Bagaimanapun, cabaran getir menanti di final apabila mereka dijadual bertemu gandingan sensasi Korea Selatan yang juga pasangan nombor tiga dunia, Kim Won Ho-Seo Seung Jae bagi perebutan gelaran juara.
Rekod pertemuan kedua-dua pasangan kini terikat 1-1, dengan kemenangan terakhir memihak kepada Won Ho-Seung Jae di pusingan kedua Seluruh England Mac lalu, manakala Sze Fei-Izzuddin menewaskan mereka dalam aksi final Terbuka India sebelum itu.
sumber:- HM
Won Ho-Seung Jae mara ke final selepas menundukkan beregu profesional negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi 21-14, 21-15 dalam satu lagi aksi separuh akhir.