KUALA TERENGGANU: Ketua jurulatih Terengganu FC (TFC), Badrul Afzan Razali tidak rela keciciran mata lagi dalam misi mengejar Sabah FC yang kini menghuni tangga ketiga Liga Super.
Beliau berkata, jika kalah atau seri, misi itu menjadi bertambah sukar kerana kini pasukannya yang mengumpul 27 mata menerusi 17 perlawanan ketinggalan dengan lima mata berbanding skuad The Rhinos.
Justeru beliau meletakkan harapan tinggi pertemuan dengan Kuala Lumpur City malam esok di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, mampu menghadirkan kemenangan bagi merapatkan lagi jurang mata.
“Jika dilihat daripada jadual perlawanan, kami masih ada peluang untuk menamatkan saingan liga di tempat ketiga, tapi kami akan fokus satu perlawanan ke satu perlawanan.
“Bertemu KL City kami tidak boleh keciciran mata lagi, wajib menang lebih-lebih lagi beraksi di tempat sendiri, baki tujuh perlawanan lagi saya lihat kekuatan semua pasukan adalah seimbang cuma kami perlu fokus.
“Bagaimanapun dengan kekurangan pemain termasuk terbaharu pertahanan, Alif Zakaria yang terpaksa berehat hingga hujung musim ini, kami perlu merangka perancangan terbaik untuk mengejar kedudukan Sabah,” katanya ketika ditemui ketika sesi latihan di Kompleks Sukan Negeri Terengganu, petang semalam.
Beliau turut mengakui belum berpuas hati dengan prestasi penyerangnya yang dilihat masih lagi tumpul walaupun berpeluang untuk menjaringkan gol dalam setiap perlawanan.
“Posisi serangan saya masih tidak puas hati, kami berpeluang tapi tidak jaringkan gol, namun kami tidak akan berdiam diri sebaliknya akan perbaiki dari semasa ke semasa, tidak lupa juga posisi pertahanan,” ujarnya yang kini dibantu bekas kapten kebangsaan, Rosdi Talib.