KUALA LUMPUR: Isu pembayaran pampasan jika sesuatu pihak membatalkan kontrak lebih awal daripada tarikh ditetapkan tidak akan timbul jika penamatan kontrak yang dibuat dipersetujui oleh kedua-dua pihak yang terbabit.
Malah, peguam undang-undang sukan, Zhafri Aminurashid menjelaskan tiada masalah jika kedua-dua pihak merahsiakan terma yang dipersetujui bersama seperti yang dilakukan antara bekas jurulatih skuad Harimau Malaya, Kim Pan Gon dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
“Tiada masalah jika penamatan dipersetujui bersama dengan terma tertentu. Tetapi jika Pan Gon menamatkan kontrak sebelah pihak, baru FAM ada klausa tindakan untuk menyaman Pan Gon bagi menuntut baki kontrak.
“Jadi sekiranya kedua-dua pihak bersetuju untuk kontrak dipendekkan ataupun kontrak ditamatkan lebih awal, isu pampasan tidak sepatutnya timbul,” kata Zhafri.
Terdahulu, tindakan pengendali dari Korea Selatan itu menamatkan kontrak 17 bulan lebih awal ketika kontraknya hanya akan berakhir Disember 2025 menimbulkan tanda tanya di laman media sosial.
Malah ada pihak yang membuat spekulasi bahawa Pan Gon didakwa perlu menyediakan RM3 juta kepada badan induk itu kerana melanggar kontrak.
Berdasarkan kepada situasi itu, Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata, setiap pekerja dan majikan terikat dengan kontrak masing-masing yang perlu dipatuhi dan diikuti.
Namun, beliau berkata, berkaitan isu Pan Gon dan FAM menyaksikan kedua-dua pihak berpisah secara baik selain badan induk bola sepak negara itu memikirkan sumbangan diberikan Pan Gon dalam mempertingkat kualiti pasukan kebangsaan ke tahap tertinggi.
“Mengikut undang-undang pekerjaan, majikan yang membatalkan kontrak atau memberhentikan pekerja perlu membayar pampasan termasuklah jika berlaku perkara sebaliknya.
“Mengenai peletakan jawatan Pan Gon, FAM dan bekas jurulatih itu mendapat persetujuan bersama tanpa sebarang perkara berbangkit.
sumber:-BH
“Kita menghormati keputusan beliau dan turut melihat sumbangannya kepada skuad Harimau Malaya,” katanya.