sukan

Taktikal hebat beregu Indonesia perangkap Aaron-Wooi Yik

KUALA LUMPUR: Permainan pantas serta kepelbagaian taktikal pukulan yang ditampilkan oleh gandingan Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Shohibul Fikri membuatkan beregu utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik sering terperangkap sekali gus mengecewakan mereka di pentas final Terbuka China, semalam.

Bagi Wooi Yik, dia dan Aaron sudah mempunyai perancangan taktikal untuk digunakan dalam perlawanan akhir itu, namun ia tidak menjadi apabila lawan mereka beraksi dengan cemerlang selain berjaya mengawal permainan dengan lebih baik.

Katanya, permainan Fajar-Shohibul Fikri sukar diramalkan kerana mereka adalah pasangan baharu dan itu menyukarkan wakil negara untuk menganalisis gaya permainan mereka secara mendalam.

“Jujurnya, kami agak bergelut kerana tidak menyangka mereka mempunyai begitu banyak variasi pukulan yang mengejutkan. Kami masuk ke gelanggang dengan pelan permainan tersendiri, tetapi mereka bermain dengan sangat baik. Jadi, tidak banyak yang boleh kami lakukan.

“Saya rasa mereka mengawal bulu tangkis dengan sangat baik terutama pada tiga pukulan pertama. Ini sangat penting untuk pasangan seperti kami dan mereka juga, kerana gaya permainan kami hampir serupa. Mereka lakukan bahagian itu dengan baik hari ini,” katanya.

Fajar-Shohibul Fikri baru digandingkan di Terbuka Jepun dan Terbuka China selepas pasangan masing-masing mengalami kecederaan dan tidak boleh beraksi di dua kejohanan itu.

Sementara itu, Aaron mengakui prestasi serta momentum lawan berada di tahap terbaik, menjadikan pergerakan mereka di gelanggang begitu selesa dan memberikan keyakinan kepada gandingan Indonesia untuk beraksi cemerlang.

“Hari ini (semalam), memang kami tidak berjaya. Mereka bermain dengan sangat baik dan setiap pukulan mereka berkualiti tinggi serta sukar untuk kami tangani. Memandangkan mereka pasangan baharu, memang perlu masa untuk menyesuaikan diri dan menganalisis corak permainan mereka.

“Sepanjang minggu ini, mereka menunjukkan prestasi luar biasa, menewaskan pasangan nombor satu dunia (Kim Won Ho-Seo Seung Jae) dan beberapa lawan kuat lain. Jadi kami perlukan masa untuk memahami corak permainan mereka,” katanya.

Terdahulu, Fajar-Shohibul Fikri hanya memerlukan 34 minit untuk mencatat kemenangan straight set ke atas Aaron Chia-Soh Wooi Yik 21-15, 21-14 dalam perlawanan yang berlangsung di Gimnasium Pusat Sukan Olimpik Changzhou.

Untuk rekod, bekas juara dunia itu beberapa kali berpeluang untuk merangkul kejuaraan pertama Super 1000 namun nasib masih belum memihak kepada mereka apabila tewas beberapa pentas akhir seperti di Seluruh England 2019 dan 2024, Terbuka Thailand 2020, Terbuka China 2023 serta Terbuka Indonesia 2023.

sumber:- HM

Selaku naib juara, Aaron-Wooi Yik membawa pulang hadiah kemenangan AS$70,000 (RM295,493), manakala Fajar-Muhammad Shohibul menerima AS$148,000 (RM624,757).