KUALA LUMPUR: Pemain beregu campuran utama negara, Cheng Tan Jie mengakui banyak ilmu yang dapat ‘disedut’ daripada pertemuannya dengan pasangan nombor satu dunia, Zheng Si Wei-Huang Ya Qiong khususnya dari sudut disiplin dan profesionalisme.
Tan Jie dan pasangannya, Toh Ee Wei yang tewas kepada gandingan China itu di final Jelajah Dunia Final BWF, bulan lalu berkata juara Olimpik itu bukan sahaja unggul di gelanggang, tetapi turut memiliki sikap profesional di luar gelanggang.
“Jadi ini adalah antara aspek yang saya rasa perlu saya pelajari. Ia bukan sekadar tentang permainan di dalam gelanggang, tetapi juga persediaan dan disiplin di luar gelanggang,” kata Tan Jie ketika ditemui selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM), hari ini.
Tan Jie turut berkongsi nasihat yang diberikan Si Wei kepadanya dengan kedua-dua pasangan bergambar bersama sejurus perlawanan berakhir sekalipun kebiasaannya hanya pemenang menjadi tumpuan lensa kamera.
“Kami tidak dapat bercakap lebih lama kerana masing-masing sibuk tetapi Si Wei ada memberitahu saya supaya nikmati detik-detik seperti ini.
“Untuk bergambar pula, tak selalu dapat peluang seperti itu dan gambar itu boleh disimpan untuk dijadikan kenangan apabila sudah bersara suatu hari nanti,” katanya.
sumber:-BH
Dalam pertemuan dengan Si Wei-Ya Qiong, Tan Jie-Ee Wei yang menghuni ranking keenam dunia berjaya membuatkan pasangan nombor satu China itu ‘berpeluh’ sebelum tewas 21-18, 14-21, 21-17.