KUALA LUMPUR: Beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei, mendedahkan mereka tidak berada pada tahap terbaik ketika tewas di peringkat suku akhir Terbuka Perancis 2025 di Cesson-Sevigne, hari ini.
Dalam aksi yang berlangsung di Glaz Arena, pasangan nombor tiga dunia yang juga juara dunia itu tewas kepada gandingan Hong Kong, Tang Chun Man-Tse Ying Suet, 9-21, 18-21 dalam tempoh 37 minit.
Tang Jie mengakui dia beraksi dalam keadaan tidak cergas sepenuhnya selepas mengalami masalah pada tangan sebelum perlawanan, sekali gus menjejaskan keupayaannya di gelanggang.
“Saya tidak berada pada tahap terbaik kerana tangan saya bermasalah sebelum perlawanan. Tapi bila sudah buat keputusan untuk bermain, tiada alasan lagi, saya perlu terima keadaan ini,” katanya kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
Walaupun sedar kecederaannya boleh menjejaskan peluang pasukan, Tang Jie berkata dia tetap memilih untuk bermain kerana mahu memberikan usaha maksimum buat pasangannya.
“Saya memang mahu cuba sedaya upaya. Tapi saya juga rasa bersalah kepada Ee Wei sebab kami sama-sama turun dengan semangat untuk menang. Itu yang buat kami agak kecewa hari ini,” katanya.
Sementara itu, Ee Wei menegaskan semangat berpasukan menjadi kekuatan utama mereka, malah kecederaan rakan sepasukan tidak pernah dijadikan alasan untuk berputus asa.
“Kadang-kadang saya pun pernah cedera dan Tang Jie tetap bantu saya di gelanggang. Hari ini bila kami sudah buat keputusan untuk bermain, kami hanya fokus untuk beri yang terbaik dan mengutip seberapa banyak mata yang boleh,” kata Ee Wei.
Mengulas lanjut, Ee Wei menganggap kekalahan itu sebagai satu pengajaran berharga, terutama apabila buat pertama kali mereka berdepan situasi kecederaan yang menjejaskan prestasi.
“Ini pengalaman baru untuk kami, pertama kali kami rasai sendiri bagaimana kecederaan boleh mempengaruhi permainan. Kami akan belajar daripada perlawanan ini dan bangkit lebih kuat untuk kejohanan seterusnya,” tambahnya.
Kekalahan itu sekali gus memadamkan rekod cemerlang Tang Jie-Ee Wei ke atas Chun Man-Ying Suet, selepas menewaskan pasangan sama dalam dua pertemuan terdahulu iaitu di Masters China 2025 dan Terbuka Artik 2023 di Finland.
Keputusan itu juga menyaksikan Tang Jie-Ee Wei masih perlu menunggu untuk menamatkan penantian menjulang gelaran Jelajah Dunia BWF pertama musim ini, dengan pencapaian terbaik setakat ini adalah naib juara Masters China, bulan lalu.
Minggu lalu Tang Jie-Ee Wei mara sehingga ke separuh akhir Terbuka Denmark.
Susulan kecederaan dialami Tang Jie, penyertaan mereka di Terbuka Hylo di Jerman yang bermula Selasa ini kini mencetuskan tanda tanya sama ada mereka akan beraksi atau menarik diri.