sukan

Tang Jie-Ee Wei dicabar tamatkan kemarau Jelajah BWF

KUALA LUMPUR: Gandingan beregu campuran utama negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei dicabar menamatkan kemarau gelaran dalam siri Jelajah Dunia BWF tahun ini apabila beraksi dalam tiga kejohanan berturut-turut di Eropah, bermula dengan Terbuka Denmark di Odense, minggu depan.

Cabaran itu dilontarkan ketua jurulatih beregu campuran negara, Nova Widianto yang mengakui status mereka selaku juara dunia hadir dengan jangkaan yang lebih tinggi daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan seluruh peminat sukan tanah air.

Nova berkata, selepas anak buahnya itu melakar sejarah di Paris, mereka kini perlu membuktikan keupayaan untuk meraih kejayaan secara konsisten di pentas antarabangsa.

“Mereka sudah menjadi juara dunia, jadi jangkaan daripada BAM dan semua rakyat Malaysia secara semula jadi adalah tinggi, dan mereka (Tang Jie-Ee Wei) mesti bersedia untuk itu.

“Keadaan Ee Wei juga kini lebih baik, jadi saya harap mereka boleh menang sekurang-kurangnya satu daripada tiga kejohanan di Eropah,” kata Nova ketika ditemui pada Majlis Penyampaian Insentif Kemenangan Kejohanan Dunia BAM di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, semalam.

Sementara itu, Ee Wei mengesahkan dia sudah pulih sepenuhnya daripada kecederaan otot oblique yang dialaminya di Masters China bulan lalu:

“Saya sudah pulih sepenuhnya dan bersedia untuk Terbuka Denmark,” katanya.

Pada aksi di Odense, Tang Jie-Ee Wei akan memulakan kempen menentang pasangan Taiwan, Yang Po Hsuan-Hu Ling Fang dan berpotensi bertemu rakan senegara, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie di suku akhir sebelum kemungkinan berdepan pilihan utama dari China, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin di separuh akhir.

Selepas Terbuka Denmark yang berlangsung dari 14 hingga 19 Oktober, pasangan itu dijadualkan beraksi di Terbuka Perancis (21-26 Oktober) dan Terbuka Hylo di Jerman (28 Oktober hingga 2 November).

Pada majlis penyampaian insentif kemenangan semalam, Tang Jie-Ee Wei menerima ganjaran keseluruhan berjumlah RM460,000 merangkumi RM300,000 daripada BAM, RM100,000 daripada Yonex dan RM60,000 daripada Affin Bank Berhad atas kejayaan bersejarah mereka di Kejohanan Dunia.