Tang Jie-Ee Wei dilantik kapten mengetui skuad Sukan SEA

KUALA LUMPUR: Beregu campuran negara, Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei diberikan kepercayaan sebagai kapten bagi mengetuai pasukan masing-masing pada temasya Sukan SEA Thailand 2025.

Tang Jie-Ee Wei yang melakar sejarah muncul juara dunia di Perancis, Ogos lalu, masing-masing menggalas tugas selaku kapten skuad berpasukan lelaki dan acara berpasukan wanita.

Bagi Tang Jie, tanggungjawab yang diberikan itu menambah semangatnya untuk membantu pasukan lelaki negara mencapai sasaran pingat emas yang diletakkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

“Pertama sekali, saya mahu berterima kasih kepada Rexy (Mainaky) kerana memberikan kepercayaan kepada saya untuk memikul tanggungjawab ini. Bagi saya, ini adalah satu motivasi untuk diri sendiri.

“Ini juga adalah peluang untuk saya belajar bagaimana menjadi kapten pasukan. Memang sangat gembira kerana diberikan peluang ini tetapi saya juga ada sasaran sendiri bersama Ee Wei,” katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM), hari ini.

Sementara itu, sama seperti Tang Jie, Ee Wei bersedia memberikan persembahan terbaik untuk skuad negara pada temasya sukan dwitahunan itu.

“Terima kasih kepada jurulatih kerana berikan kepercayaan kepada saya dan Tang Jie. Saya akan buat yang terbaik bagi membantu dan menyokong pasukan. Kita akan bermain acara berpasukan dulu, jadi perlu sokong antara satu sama lain,” katanya.