KUALA LUMPUR: Beregu campuran nombor satu negara yang juga juara dunia, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei bersedia diturunkan pada Sukan SEA Thailand 2025 Disember depan sekiranya disenaraikan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) meskipun berdepan dengan jadual padat.
Pertandingan badminton temasya dwitahunan itu dijadual berlangsung dari 7 hingga 14 Disember sekali gus menyaksikan pasangan itu hanya ada tiga hari untuk membuat persiapan ke pusingan akhir Jelajah Dunia BWF di Hangzhou pada 17 hingga 21 Disember.
Tang Jie sudah menikmati kejayaan di pentas Sukan SEA apabila memenangi emas beregu campuran bersama Peck Yen Wei di Hanoi pada 2022, namun Ee Wei masih menanti penampilan sulungnya di temasya itu.
Bagaimanapun, fokus utama mereka tetap tertumpu kepada Jelajah Dunia BWF – kejohanan akhir musim yang menawarkan hadiah lumayan, dengan juara beregu akan membawa pulang AS$210,000 (kira-kira RM880,000).
Tahun lalu, Tang Jie-Ee Wei menamatkan saingan selaku naib juara, tewas kepada gandingan legenda China yang juga juara Olimpik, Zheng Si Wei-Huang Ya Qiong.
Bagi Ee Wei, peluang beraksi di Sukan SEA adalah satu penghormatan buat mereka sekalipun berdepan jadual padat.
“Kalau dipilih, sudah tentu kami akan bermain kerana ini untuk Malaysia. Kami main dengan bendera di dada, jadi sudah pasti kami berbangga dan akan turun beraksi.
“Tapi masih perlu berbincang dengan jurulatih dan pengurusan. Apa pun, bagi saya ini sesuatu yang penting kerana saya belum pernah beraksi di Sukan SEA,” katanya.