sukan

Tang Jie-Ee Wei masih ada masalah ‘belum selesai’

KUALA LUMPUR: Gandingan beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei, masih belum menemui keserasian sepenuhnya apabila terus dibelenggu isu kawalan emosi dan penerimaan kesilapan ketika beraksi di gelanggang.

Ketua Pengarah Kejurulatihan Beregu, Rexy Mainaky, mengakui meskipun pasangan itu memiliki kualiti permainan yang tinggi, mereka masih rapuh apabila diasak lawan sekali gus retak permainan terganggu dan momentum hilang.

“Kalau dapat mata mudah, permainan mereka hidup tapi bila mula ditekan, terus panik. Bukan soal komunikasi, tapi soal emosi dan penerimaan kesilapan yang masih belum kukuh,” katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM).

Rexy mengulas mengenai perkara itu ketika gandingan nombor tiga dunia itu yang turun selaku pilihan utama tewas di tangan pasangan Denmark, Mathias Christiansen-Alexandra Boje dalam pertarungan tiga set 21-15, 17-21, 11-21 dalam tempoh 54 minit di Terbuka Macau.

Situasi membabitkan Tang Jie-Ee Wei itu mengingatkan Rexy kepada pasangan beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah, yang pernah berdepan isu sama namun berjaya mengatasinya tanpa perlu dipisahkan.

Berbeza dengan Tang Jie-Eei Wei yang pernah digandingkan semula selepas beraksi dengan pasangan berbeza di beberapa kejohanan seperti Terbuka Taiwan dan Malaysia Masters, Pearly-Thinaah kekal bersama dan kini tampil lebih konsisten di pentas antarabangsa.

“Dulu Pearly pun sukar terima ‘unforced error’ daripada Thinaah. Tapi sekarang mereka sudah matang dan saling menerima kelemahan masing-masing.

“Itu yang saya harap dapat dilihat pada Tang Jie dan Ee Wei,” jelas Rexy.

Tambahnya, dalam perlawanan sebenar, pasangan di gelanggang seharusnya menjadi sokongan utama antara satu sama lain bukan membiarkan emosi menguasai permainan.

“Kita bermain sebagai manusia, bukan robot yang boleh diprogram untuk sentiasa sempurna. Kesilapan itu perkara biasa, yang penting ialah bagaimana pasangan saling membantu untuk keluar dari tekanan,” tegasnya.

sumber:- HM

Rexy optimis jika isu emosi dan penerimaan ini dapat ditangani segera, Tang Jie-Toh Ee Wei berpotensi besar untuk menyaingi pencapaian Pearly-Thinaah dan menjadi antara beregu campuran terbaik negara.