KUALA LUMPUR: Beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei bertekad untuk menggunakan masa yang ada bagi memperbaiki segala kelemahan agar mereka tampil di Kejohanan Dunia bulan hadapan dengan status lebih bersedia.
Bagi Ee Wei, dia dan pasangannya termasuk jurulatih, Nova Widianto akan melakukan perbincangan bersama-sama untuk mencari solusi terbaik agar mereka dapat mengurangkan kesilapan yang sering terjadi ketika berada di dalam gelanggang terutama sewaktu ketinggalan.
“Kami memang perlu memperbanyakkan latihan kerana salah satu fokus utama sekarang ialah untuk mengurangkan kesilapan sendiri. Selepas ini kami akan kembali berbincang bersama jurulatih bagi menilai prestasi dan membuat pembaikan sebelum ke Paris,” katanya.
Terdahulu, pilihan keempat kejohanan itu dikecewakan oleh pasangan tuan rumah, Guo Xin Wa-Chen Fang Hui di suku akhir Terbuka China dengan kekalahan straight set 15-21, 19-21 dalam aksi yang berlangsung selama 43 minit.
Untuk Kejohanan Dunia yang akan berlangsung di Paris bulan depan, Tang Jie-Ee Wei berada dalam kelompok pencabar kejuaraan selepas prestasi mereka dilihat cukup baik tahun ini terutama selepas digandingkan semula.
Dengan status beregu nombor empat dunia, sudah pasti itu akan memberi sedikit sebanyak kelebihan kepada pasangan ini untuk mengatur strategi yang lebih ampuh.
Untuk tahun ini, meskipun belum merangkul kejuaraan tetapi layak sebanyak empat kali ke separuh akhir, itu juga bakal menjadi motivasi terbaik untuk wakil negara itu.
sumber:- HM
Untuk rekod, pada Kejohanan Dunia 2023, cabaran Tang Jie-Ee Wei terhenti di suku akhir selepas tewas kepada gandingan Jepun, Yuta Watanabe-Arisa Higashino, 11-21, 11-21.