KUALA LUMPUR: Beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei bakal memulakan kempen kem badminton negara di Sukan Olimpik Paris 2024 pada Sabtu ini.
Tang Jie-Ee Wei dijadual memulakan langkah dalam saingan Kumpulan D bertemu pasangan ranking ke-17 dunia dari Singapura, Terry Hee-Jessica Tan.
Pertemuan di Arena Porte de la Chapelle itu adalah yang kedua buat kedua-dua beregu dengan kali terakhir Tang Jie-Ee Wei yang di ranking kesembilan dunia meraih kemenangan ke atas lawannya itu di Terbuka Switzerland 2024, Mac lalu.
“Saya masih ingat lagi waktu menyaksikan Olimpik di Beijing 2008. Satu detik yang indah dan saya memasang impian untuk berusaha gigih untuk ke Olimpik.
“Olimpik sangat berbeza dan saya mahu beraksi di sana dan merasai suasana kejohanan. Olimpik ini adalah langkah pertama dan akan terus berusaha gigih untuk menghasilkan keputusan lebih baik,” kata Tang Jie dalam satu hantaran video di laman sosial Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
Selain Tang Jie-Ee Wei, turut memulakan saingan peringkat kumpulan pada Sabtu ini adalah beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, beregu wanita, Pearly Tan-M Thinaah dan perseorangan wanita, Goh Jin Wei.
Pemenang pingat gangsa di Tokyo 2020 itu dijadual bertemu beregu dari Great Britain, Ben Lane-Sean Vendy dalam perlawanan pertama Kumpulan A manakala Pearly-Thinaah berdepan lawan dari China, Chen Qing Chen-Jia Yi Fan.
sumber:-BH
Jin Wei pula dijadual bertemu lawan dari Afrika Selatan, Johanita Scholtz dalam saingan kumpulan H manakala jaguh perseorangan negara, Lee Zii Jia bertemu lawan dari Sri Lanka, Viren Nettasinghe pada perlawanan pembukaan Kumpulan G, keesokan harinya.