KUALA LUMPUR: Beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei mencipta kebangkitan epik untuk mengatasi gandingan China, Guo Xin Wa-Cheng Fang Hui sekali gus melangkah ke separuh akhir Masters China di Shenzen, sebentar tadi.
Selepas tewas 14-21 di set pertama, pintu seakan sudah tertutup buat pasangan ranking ke-10 dunia itu untuk melakar kemenangan apabila ketinggalan 12-20 di set kedua.
Bagaimanapun, Tang Jie-Ee Wei mempamerkan ‘magis’ mereka apabila bangkit menyamakan kedudukan 20-20 sebelum menang 23-21 untuk mengheret permainan ke set penentuan.
Kemenangan penuh dramatik di set kedua itu nyata menyuntik motivasi Tang Jie-Ee Wei yang tampil dengan aksi bertenaga untuk memenangi set ketiga 21-16 sekali gus mara ke separuh akhir.
“Ia satu kemenangan yang istimewa buat kami kerana ia bukan perlawanan yang mudah terutama selepas kami ketinggalan 12-20. Kami dapat belajar banyak perkara melalui detik sukar seperti ini.
“Kebiasannya, kami tidak akan berjaya mengharunginya tetapi kali ini kami berjaya mengatasinya untuk memenangi perlawanan,” kata Ee Wei kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
Sementara itu, Tang Jie, berkata komunikasi menjadi salah satu faktor utama membantu mereka memenangi perlawanan berkenaan.
“Selepas ketinggalan 1-11 di set kedua, kami sentiasa berkomunikasi antara satu sama lain, kami bagus dengan strategi kami tetapi mereka lebih bagus dan sebab itu mereka dapat memenangi set pertama dan mendahuli set kedua.
“Namun, kami cuba untuk membuatkan mereka sukar meraih mata dan ia berkesan,” kata Tang Jie.
Tang Jie-Ee Wei bagaimanapun berdepan satu lagi ujian getir apabila dijadual bertemu pasangan nombor dua dunia, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping dari China bagi perebutan tiket ke final.
“Minggu lalu kami tersingkir di pusingan pertama (Masters Kumamoto di Jepun) dan kami banyak berbincang. Saya gembira dengan prestasi kami setakat ini.
“Kami harap boleh kekalkan momentum ini untuk perlawanan seterusnya,” kata Ee Wei.
Sementara itu, satu lagi beregu campuran negara, Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin mengekalkan rentak cemerlang mereka apabila turut melangkah ke separuh akhir.
Selepas menyingkirkan pasangan nombor tiga dunia dari China, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin di pusingan kedua semalam, gandingan muda negara itu kali ini menang ke atas beregu Taiwan, Chen Cheng Kuan-Hsu Yin Hui 21-10, 21-16.
sumber:-BH
Mereka akan berdepan pilihan ketiga dari Hong Kong, Tang Chun Man-Tse Ying Suet pada aksi separuh akhir, esok.