sukan

Tang Jie-Toh Ee Wei buktikan mereka pencabar utama memenangi pingat

KUALA LUMPUR: Beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei membuktikan betapa mereka adalah pencabar utama untuk memenangi pingat pada temasya Sukan Olimpik Paris.

Gandingan nombor sembilan dunia itu mencipta kejutan menumbangkan beregu nombor dua dunia dari China, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping untuk melangkah ke suku akhir selaku juara Kumpulan D.

Tang Jie-Ee Wei membuktikan Tembok Besar China mampu dirobohkan apabila bangkit daripada kalah set pertama sebelum mencatat kemenangan 17-21, 21-15, 21-16 dalam tempoh 70 minit pada aksi di Porte de La Chapelle Arena.

Sebagai rekod, Dong Ping adalah pemenang emas Olimpik Tokyo 2020 bersama gandingannya ketika itu, Wang Yilyu.

Menurut Tang Jie, tahap persefahaman dan komunikasi yang baik di dalam gelanggang menjadi kunci kejayaan mereka menewaskan Yan Zhe-Dong Ping yang juga juara Terbuka Perancis.

“Mereka bermain dengan sangat baik dan benar-benar memberi tekanan kepada kami hingga ke tahap maksimum.

Bagi Ee Wei pula, dia tidak mahu terlalu memikirkan kemenangan itu, sebaliknya akan kekal fokus berdepan aksi suku akhir selepas ini.

“Kami meletakkan kepercayaan antara satu sama lain dan dapat berinteraksi dengan baik ketika di dalam gelanggang.

“Kami masih dalam pertandingan dan tidak mahu terlalu banyak memikirkan kemenangan ini. Kami mahu mendapat rehat yang baik dan kemudian fikirkan strategi bagi perlawanan seterusnya,” kata Ee Wei.

Kemenangan ke atas gandingan China menyaksikan Tang Jie-Ee Wei berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah mereka dalam saingan kumpulan selepas turut mengatasi beregu Singapura, Terry Hee-Jessica Tan dan pasangan Amerika Syarikat, Vinson Chiu-Jennie Gai sebelum ini.

sumber:-BH

Selaku juara kumpulan, ia akan meletakkan Tang Jie-Ee Wei sebagai pilihan dan akan bertemu naib juara daripada kumpulan lain apabila undian suku akhir dijalankan selepas tamat semua aksi peringkat kumpulan.