Tangisan kegembiraan mengiringi luahan Datuk Azizulhasni Awang selepas pelumba berbasikal trek negara itu menerima pengesahan bahawa Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Majlis Sukan Negara (MSN) masih memerlukan khidmatnya terutama dalam misi memburu tiket ke Sukan Olimpik Los Angeles (LA) 2028.
Azizulhasni, yang membuat kenyataan menerusi akaun Instagram miliknya hari ini berkata, berita itu diterimanya selepas beliau membuka e-mel daripada KBS dan MSN sebaik selesai menjalani sesi latihan di trek.
Katanya, tempoh seminggu sebelum ini cukup mencabar sehingga menjejaskan tumpuannya untuk berlatih.
“Alhamdulillah, hari ini 31 Ogos, Hari Kebangsaan ke-69. Saya baru buka e-mel di trek selepas sesi latihan selepas seminggu. Memang sepanjang minggu ini saya tidak boleh berlatih. Bila pergi berlatih, fikiran saya kosong.
“(Hari ini) Saya buka e-mel dan terima e-mel daripada KBS dan MSN bahawa mereka masih memerlukan khidmat saya. Saya tunggu sebelum saya ke Sukan Komanwel (Glasgow 2026) lagi dan Alhamdulillah, hari ini saya mendapat jawapan itu,” katanya dalam keadaan sebak dan menitiskan air mata kegembiraan.
Juara dunia dalam acara keirin pada 2017 itu mengakui hanya atlet yang pernah melalui pengalaman dan pengorbanan sama mampu memahami perasaan yang dilaluinya ketika ini.
“Tidak semua orang memahami perasaan ini. Sekiranya tidak melaluinya, kamu tidak akan memahaminya. Hanya atlet sebenar, hanya yang betul-betul berkorban untuk negara sahaja yang faham bagaimana perasaannya,” katanya.
Dalam pada itu, Azizulhasni menzahirkan penghargaan kepada seluruh rakyat Malaysia yang tidak putus memberikan sokongan kepadanya, termasuk menerusi mesej dan komen di media sosial.
“Saya nak ucapkan ribuan terima kasih kepada semua rakyat Malaysia. Saya tidak pernah minta seorang pun untuk menyokong atau membantu saya, tetapi saya sangat-sangat berterima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang tampil menyokong saya.
“Walaupun melalui teks dan komen, ia membawa makna yang besar dan impak yang besar. Terima kasih kepada semua yang berada di belakang saya. Alhamdulillah, syukur Allah bantu saya dan bantu semua,” katanya.
Azizulhasni, 38, yang terkenal dengan semangat juang tinggi ketika menggalas cabaran negara turut menegaskan komitmennya untuk terus memberikan yang terbaik buat Malaysia.
“Seperti biasa, saya akan buat yang terbaik untuk negara yang tercinta dan kepada anda semua,” katanya.