sukan

Tanpa Arif Aiman, jentera serangan JDT tumpul

Ketiadaan tonggak utama, Arif Aiman Hanapi jelas memberi kesan besar terhadap jentera serangan Johor Darul Ta’zim (JDT) apabila pasukan itu dilihat tidak lagi mampu membanjiri gol lawan seperti kebiasaan.

Perkara itu diakui sendiri jurulatih JDT, Xisco Munoz yang menyifatkan kehilangan Arif sebagai satu tamparan besar buat pasukannya, bukan sahaja dari sudut taktikal, malah emosi dan karakter di atas padang.

Menurut Xisco, Arif bukan sekadar pemain sayap biasa, sebaliknya nadi utama yang menggerakkan idea permainan JDT, selain memiliki keupayaan mencipta perbezaan dalam perlawanan besar.

“Mengenai Arif, saya sangat sedih. Kami kehilangan pemain terbaik kami yang sering menggempur kubu lawan.

“Dia adalah pemain muda terbaik di Asia,” katanya ketika diminta mengulas ketiadaan pemain berusia 22 tahun itu.

Sebelum itu, JDT terus melebarkan rekod kemenangan dalam saingan Liga Super apabila menundukkan Selangor FC 2-0 pada perlawanan Liga Super yang berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) malam tadi.

Dua gol hasil daripada jaringan sendiri pertahanan import Selangor, Richmond Ankrah dan penyerang JDT Bergson da Silva sudah cukup untuk memastikan pasukan pelawat membawa pulang tiga mata penting.

Sementara itu, Xisco mengakui sebagai jurulatih, kehilangan pemain dengan kualiti luar biasa seperti Arif amat mengecewakan kerana kehadirannya sering menjadi pemangkin kepada keupayaan JDT untuk menjaringkan gol dalam jumlah besar.

Beliau menegaskan Arif bukan sahaja unggul dari segi teknikal, malah memiliki karakter serta pemahaman permainan yang selari dengan DNA JDT, menjadikan ketiadaannya sukar diganti dalam masa singkat.

“Dia adalah yang terbaik, termasuk dari segi karakter dan idea permainan JDT. Kehilangan pemain seperti ini adalah satu realiti yang sukar diterima,” katanya.

Pada masa sama, Xisco bagaimanapun menaruh keyakinan penuh terhadap proses pemulihan Arif, sambil percaya pemain itu akan kembali lebih kuat berdasarkan etika kerja serta kapasiti istimewa yang dimilikinya.

“Saya tahu dia bekerja keras dan pasti akan kembali lebih kuat kerana kapasiti istimewa Arif dalam memberikan yang terbaik buat kelab.

“Perkara paling penting sekarang adalah pemulihan. Selepas itu, beliau perlukan masa untuk memperbaiki keadaannya setiap hari. Bukan dalam masa terdekat,” katanya.

Mengikut rekod, pemain sensasi itu mengalami kecederaan hamstring teruk semasa aksi Kelayakan Piala Asia menentang Nepal pada 18 November lalu.

Situasi itu menyebabkan dia perlu berehat sekitar tiga bulan selepas menjalani pembedahan di Finland dengan pakar terkenal, Dr Lasse Lempainen.