sukan

‘Tanya Cklamovski sendiri’

SUBANG JAYA: Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub mengambil pendekatan lebih berhati-hati dalam mengulas kenyataan dibuat ketua jurulatih Harimau Malaya, Peter Cklamovski selepas aksi menentang Vietnam, 10 Jun lalu.

Pada temu bual selepas aksi kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Nasional, Bukit Jalil itu, Cklamovski mendakwa terdapat isu dalaman termasuk politik dan halangan tertentu yang terpaksa dihadapi pasukan kebangsaan dalam usaha membawa skuad itu ke tahap lebih baik di peringkat antarabangsa.

Kenyataan itu mencetuskan kekeliruan mengenai apa maksud sebenar yang cuba disampaikan pengendali dari Australia itu dengan Joehari menjelaskan FAM memberi sokongan penuh terhadap skuad kebangsaan.

Justeru, beliau berkata, adalah lebih baik sekiranya Cklamovski sendiri yang memperjelaskan apa yang dimaksudkan dalam kenyataannya sebelum ini.

“Kami memang tidak pasti apa yang dimaksudkan oleh Peter. Saya berasa perkara ini lebih baik ditanya kepada beliau sendiri dan biarlah beliau sendiri yang jelaskan.

“Kadang-kadang apabila kenyataan diterjemahkan atau disampaikan semula, konteks boleh lari. Saya boleh beri jaminan, sebagai Presiden FAM, kami memberi sokongan 100 peratus, malah 150 peratus kepada jurulatih dan pemain.

“Kami sentiasa di belakang mereka dan kami bersama, itu yang penting. Kami memulakan projek ini dengan visi yang sama dan sokongan kami kekal padu,” katanya pada sidang media selepas Kongres Luar Biasa FAM Pertama 2025, di sini, hari ini.

sumber:- stadium astro

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh sebelum ini turut diajukan soalan mengenai kenyataan Cklamovski itu yang mana beliau menegaskan bahawa Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tidak campur tangan urusan pentadbiran FAM.