KUALA LUMPUR: Beregu wanita negara, Go Pei Kee-Teoh Mei Xing menyifatkan pencapaian mara ke suku akhir Terbuka China sebagai petanda positif dalam usaha mereka membina keyakinan berdepan gandingan terbaik dunia.
Bagaimanapun, langkah mereka terhenti di tangan pasangan pilihan tuan rumah, Jia Yi Fan-Zhang Shu Xian selepas tewas 7-21, 15-21 dalam masa 34 minit.
Mengulas kekalahan itu, Mei Xing mengakui mereka masih perlu memperbaiki banyak aspek permainan jika mahu memberi cabaran kepada pasangan elit dunia.
“Gandingan mereka sangat sempurna. Jika dibandingkan dengan perlawanan awal musim ini, sekarang pukulan dan pergerakan mereka jauh lebih matang dan sukar untuk diatasi.
“Kami boleh belajar banyak daripada mereka, terutama dari segi kelajuan, kuasa dan taktikal,” katanya kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
Mei Xing juga menyifatkan pencapaian minggu ini sebagai pencapaian terbaik mereka musim ini.
“Sepanjang tahun ini, saya rasa prestasi Terbuka China yang terbaik buat kami. Memang sedikit kecewa kerana bukan hari kami, lawan pula bermain sangat baik dan kami tidak mampu mengikut kepantasan mereka,” katanya.
Beregu itu juga bertekad untuk meneruskan momentum selepas mencipta sejarah mara ke suku akhir kejohanan Jelajah Dunia Super 1000 buat kali pertama.
“Kami harap dalam bulan-bulan mendatang, kami mampu memburu sekurang-kurangnya satu kejuaraan dalam kejohanan Super 500 atau 300,” ujarnya.
Pei Kee-Mei Xing selepas ini akan beraksi di Terbuka Macau yang berlangsung dari 29 Julai hingga 3 Ogos dengan mereka berdepan gandingan Hong Kong, Lui Lok Lok-Tsang Hiu Yan di pusingan pertama.