sukan

Terbuka China: Tang Jie-Ee Wei terus membara di Changzhou

KUALA LUMPUR: Beregu campuran utama negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei meneruskan rentak cemerlang apabila mengesahkan tempat ke suku akhir Terbuka China, sebentar tadi.

Pasangan di ranking keempat dunia itu menewaskan beregu tuan rumah, Gao Jia Xuan-Wu Meng Ying 22-20, 21-17 dalam aksi pusingan kedua yang berlangsung di Gimnasium Pusat Sukan Olimpik, Changzhou.

Pertemuan pertama antara kedua-dua pasangan itu menyaksikan Tang Jie-Ee Wei tenang mengawal permainan sebelum meraih kemenangan dalam tempoh 35 minit.

Tahun ini, pasangan profesional negara itu masih belum meraih sebarang gelaran juara dengan pencapaian terbaik adalah mara ke separuh akhir di empat kejohanan iaitu Terbuka Malaysia, India, Indonesia dan Jepun.

Mengulas kemenangan itu, Tang Jie mengakui mereka bermula agak perlahan namun berjaya mengubah rentak selepas separuh set pertama.

“Kami sangat gembira dengan kemenangan ini, tapi kami bermula agak perlahan. Pihak lawan memang bermain lebih baik pada awal permainan. Tapi kami bangkit semula selepas mata ke-11,” kata Tang Jie.

“Kami tak melawan arah angin pada set pertama, jadi agak sukar untuk mengangkat bulu tangkis dengan baik. Mereka lebih agresif di bahagian tengah dan hadapan gelanggang, tapi kami cuba sesuaikan diri,” katanya kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Ee Wei pula percaya kemenangan itu adalah hasil keserasian dan kekal fokus dalam menghadapi saingan.

“Kami akan terus bersedia untuk perlawanan esok. Setakat ini semuanya berjalan lancar dan kami harap momentum ini berterusan,” katanya ringkas.

sumber:- HM

Di suku akhir esok, mereka bakal berdepan satu lagi wakil China, Guo Xin Wa-Chen Fang Hui yang mara selepas mengejutkan pilihan kelima dari Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Supissara Paewsampran 22-20, 21-15.