sukan

Terbuka China: Wei Chong-Kai Wun berdepan beregu nombor 2 dunia rebut tiket separuh akhir

KUALA LUMPUR: Beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun bakal membuat perhitungan dengan beregu nombor dua dunia yang juga rakan senegara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik pada aksi suku akhir Terbuka China, esok.

Wei Chong-Kai Wun mara ke suku akhir selepas berhempas pulas menumbangkan beregu profesional, Nur Mohd Azriyn Ayub-Tan Wee Kiong 17-21, 21-17, 21-19 pada pusingan kedua, hari ini.

Turun selaku pilihan keenam kejohanan berstatus Super 1000 itu, Wei Chong-Kai Wun menunjukkan ketenangan serta semangat tidak berputus asa selepas tewas di set pertama.

Mereka memperkemaskan rentak permainan di set kedua untuk mengheret perlawanan ke set penentuan sebelum meraih kemenangan pada pertemuan pertama dengan Azriyn-Wee Kiong.

Menjelang aksi suku akhir esok, rekod pertemuan menyaksikan Wei Chong-Kai Wun sudah bertemu Aaron-Wooi Yik sebanyak enam kali dan masing-masing menang sebanyak tiga kali.

Pertemuan terakhir di suku akhir Terbuka Singapura Mei lalu memihak kepada Aaron-Wooi Yik, yang kemudian muncul juara.

Namun sebelum itu di Masters Malaysia, Wei Chong-Kai Wun yang menduduki ranking ketujuh dunia ketika ini, menumbangkan bekas juara dunia itu pada pentas final.

Terdahulu, Aaron-Wooi Yik menewaskan Christo Popov-Toma Junior Popov 21-17, 21-18 pada pusingan kedua untuk mengesahkan tiket ke suku akhir.

sumber:- HM

Beregu utama negara itu kini meneruskan misi memburu gelaran keempat musim ini selepas sebelum ini merangkul kejuaraan di Kejohanan Badminton Asia, Terbuka Thailand dan Terbuka Singapura.