sukan

Terbuka Denmark: Dua slot suku akhir beregu lelaki sah milik Malaysia

Beregu lelaki profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani, tidak berdepan masalah untuk melepasi pusingan pertama Terbuka Denmark 2026 selepas menewaskan rakan senegara, Nur Mohd Azriyn Ayub-Tan Wee Kiong, awal pagi tadi.

Pasangan nombor enam dunia itu hanya memerlukan 27 minit untuk mencatat kemenangan straight set 21-14, 21-11 dalam aksi di Arena SJF Bank, Odense.

Sze Fei-Izzuddin yang hadir dengan status juara Terbuka Indonesia mengawal permainan sejak set pertama dan tidak memberikan banyak ruang kepada Azriyn-Wee Kiong untuk membina momentum.

Selepas mengambil set pembukaan 21-14, pasangan profesional negara itu meningkatkan tekanan pada set kedua sebelum menamatkan perlawanan dengan kemenangan lebih selesa 21-11.

Kemenangan berkenaan membawa Sze Fei-Izzuddin ke pusingan 16, namun satu lagi pertembungan sesama Malaysia sudah menanti.

Mereka bakal berdepan Chia Wei Jie-Teo Ee Yi bagi merebut tiket ke suku akhir.

Wei Jie-Ee Yi terlebih dahulu mengesahkan kemaraan selepas menundukkan pasangan Taiwan, Chen Zhi Ray-Lin Yu Chieh, 21-16, 21-15.

Pertemuan antara Sze Fei-Izzuddin dan Wei Jie-Ee Yi membawa satu berita positif buat kem negara kerana Malaysia sudah pasti mempunyai satu wakil daripada laluan tersebut dalam kelompok lapan terbaik.

Malah, bukan hanya satu.

Satu lagi aksi pusingan 16 turut mempertemukan dua beregu negara apabila Aaron Chia-Soh Wooi Yik dijadual berdepan juara Terbuka Artik, Aaron Tai-Yap Roy King.

Aaron-Soh mengesahkan kemaraan selepas menyingkirkan juara bertahan dari Jepun, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi, manakala Aaron-Roy King meneruskan momentum selepas gelaran di Finland dengan menewaskan pasangan Korea Selatan, Kang Min Hyuk-Lee Jong Min.

Dua pertembungan sesama Malaysia itu bermakna negara sudah menjamin sekurang-kurangnya dua tempat di suku akhir beregu lelaki Terbuka Denmark.

Dalam beregu campuran, Chen Tang Jie-Chan Wen Tse turut meneruskan cabaran apabila menewaskan Jimmy Wong-Cheng Su Yin 21-19, 21-16.

Gandingan sementara itu seterusnya berdepan pilihan keenam dari China, Guo Xin Wa-Chen Fang Hui.

Bagaimanapun, kempen perseorangan wanita negara berakhir selepas Wong Ling Ching kalah kepada pemain Jepun, Riko Gunji, dalam pertarungan tiga set 21-19, 11-21, 19-21.

Kekalahan itu menyusul selepas K Letshanaa turut tersingkir sehari sebelumnya apabila kalah straight set 5-21, 18-21 kepada wakil Denmark, Line Christophersen.

Ketika cabaran perseorangan wanita sudah berakhir, sektor beregu lelaki kini menjadi antara tumpuan utama Malaysia di Odense dengan dua tiket suku akhir sudah pasti berada dalam genggaman.