KUALA LUMPUR: Beregu profesional lelaki negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani terus berada di landasan tepat untuk mempertahankan kejuaraan Terbuka Jepun selepas berjaya mara ke suku akhir.
Pada pusingan kedua hari ini, pasangan nombor satu dunia itu berjaya menumbangkan wakil tuan rumah, Hiroki Midorikawa-Kyohei Yamashita 21-19 21-18 dalam tempoh 38 minit.
Sze Fei-Izzuddin yang menewaskan juara dunia dari Korea Selatan, Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae untuk muncul juara Terbuka Jepun tahun lalu, berjaya menyerap tekanan penyokong tuan rumah pada aksi berlangsung di Gimnasium Metropolitan, Tokyo.
Ia adalah kemenangan pertama Sze Fei-Izzuddin ke atas lawan yang menduduki ranking ke-28 dunia itu selepas tewas pada pertemuan kali pertama di Terbuka Switzerland, Mac lalu sekali gus menyaksikan rekod pertemuan terikat 1-1.
Turut mara ke suku akhir adalah beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun yang mengatasi gandingan China, Huang Di-Liu Yang.
Namun juara Masters Malaysia itu tidak diberikan laluan mudah apabila terpaksa beraksi bermati-matian untuk melakar kemenangan 21-19 14-21 22-20 pada aksi berlangsung selama satu jam enam minit itu.
sumber:- HM
Pada aksi suku akhir esok, Wei Chong-Kai Wun akan bertemu pilihan ketiga kejohanan, Kim Won Ho-Seong Seung Jae.