KUALA LUMPUR: Beregu lelaki negara, Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King cemas seketika sebelum berjaya mengatasi lawan mereka pada pusingan pertama Terbuka Jerman di Mulheim, awal pagi tadi.
Pilihan ketiga kejohanan itu hampir dikejutkan selepas tewas set pertama berdepan pasangan Denmark yang menghuni ranking ke-42 dunia, William Kryger Boe-Christian Faust Kjaer.
Namun mereka bangkit untuk mencatat kemenangan 21-23, 21-13, 21-12 dalam tempoh 52 minit pada aksi di Westenergie Sporthalle.
Wan Arif-Roy King akan berdepan pemenang perlawanan antara pasangan Taiwan, Po Li Wei-Chang Ko Chi dan gandingan Perancis, Mael Cattoen-Lucas Rendir bagi aksi pusingan kedua, esok.
Pasangan itu muncul satu-satunya wakil Malaysia dalam beregu lelaki meneruskan cabaran ke pusingan kedua selepas juara remaja dunia Aaron Tai-Kang Khai Xing serta dua gandingan profesional, Nur Azriyn Ayub-Tan Wee Kiong dan Low Hang Yee-Ng Eng Cheong terkandas di pusingan pertama.
Peralihan Aaron-Khai Xing daripada saingan remaja ke kejohanan senior masih mencabar apabila mereka tewas 19-21, 18-21 kepada pasangan Amerika Syarikat, Chen Zi Yi-Presley Smith.
Pasangan ranking ke-41 dunia, Hang Yee-Eng Cheong gagal mencari jawapan bagi menyaingi beregu Scotland, Christopher dan Matthew Grimley apabila tunduk 14-21, 14-21.
sumber:-BH
Sementara itu, pilihan kelapan kejohanan, Wee Kiong-Azriyn yang menghuni ranking ke-26 dunia, tewas 19-21, 21-13, 19-21 kepada beregu Taiwan, Lu Ming Che-Tang Kai Wei.