Beregu utama wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah mengakui perubahan taktikal yang dilakukan pasangan Jepun, Yuki Fukushima-Mayu Matsumoto pada set kedua menjadi faktor mereka tumpas kepada pilihan pertama itu pada final Terbuka Perancis, semalam.
Menurut Thinaah, aksi pada set kedua pada awalnya berlangsung sengit, namun selepas terikat 7-7, Fukushima-Matsumoto mengubah corak permainan dengan lebih banyak melakukan serangan.
“Strategi itu membolehkan mereka mendahului kami dengan jurang mata yang agak selesa. Di penghujung set, kami cuba mengejar, tetapi saya rasa jurang mata pada awal permainan sudah terlalu jauh. Saya fikir kelebihan itu juga meningkatkan keyakinan mereka,” katanya kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
Dalam aksi final yang berlangsung di Arena Grand Paris, Pearly-Thinaah memenangi set pertama 21-10 sebelum pasangan ketiga dunia itu bangkit dalam dua set berikutnya untuk menang 21-17, 21-16.
Untuk rekod, kekalahan itu adalah yang kelima berturut-turut buat beregu keempat dunia berkenaan ketika menentang Fukushima-Matsumoto, selepas kali terakhir tewas pada Terbuka Jepun pada November 2025.
Kekalahan itu juga menyaksikan Pearly-Thinaah gagal merangkul gelaran ketiga musim ini selepas memenangi Masters Indonesia pada Januari dan Terbuka Denmark minggu lalu.
Selaku naib juara, Pearly-Thinaah menerima hadiah wang tunai AS$33,250 (RM135,836), manakala pasangan Jepun itu membawa pulang AS$70,300 (RM287,196).
Pearly turut sependapat dengan Thinaah bahawa lawan mereka beraksi lebih baik pada set kedua dan ketiga.
“Kami tahu bukan mudah untuk menentang mereka hari ini. Jelas sekali, dari segi fizikal, mereka sangat kuat dan masih mampu bergerak pantas walaupun pada set ketiga,” katanya.