sukan

Terdapat empat pemain sesuai ganti tempat Faisal Halim

Ketua jurulatih interim skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe dianggap tidak terlalu pening kepala untuk mencari pengganti Faisal Halim bagi menghadapi aksi persahabatan antarabangsa menentang China dan Yaman, bulan depan.

Ia susulan banyak pilihan yang dimiliki Cheng Hoe ketika ini termasuk pemain naturalisasi, Manuel Hidalgo dan G Pavithran yang turut berada dalam skuad ketika Piala ASEAN Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) sebelum ini.

Malah, pengendali berusia 58 tahun itu juga mempunyai beberapa pilihan lain termasuk dua tonggak Kuching City, Ramadhan Saifullah Usman dan Safawi Rasid yang tidak tersenarai dalam skuad akhir bagi Piala ASEAN FIFA.

Bekas pengendali skuad kebangsaan, Wan Jamak Wan Hassan menganggap Cheng Hoe pasti mempunyai pilihan tersendiri untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan Faisal.

Beliau menjelaskan, mungkin pengganti itu tidak sama dengan gaya permainan Faisal, namun ia boleh menyumbang sesuatu kepada pasukan serta sesuai dengan taktikal yang ingin direncanakan Cheng Hoe.

“Bola sepak ialah permainan satu pasukan, jadi individu tidak akan memenangkan perlawanan. Namun, individu yang mempunyai bakat luar biasa seperti Faisal mungkin boleh melakukan sesuatu untuk pasukan.

“Corak permainan Faisal ini dia berada di sebelah kiri dan apabila dapat bola, dia masuk ke bahagian tengah. Itu gaya dia sama dengan permainan Arif Aiman (Hanapi) dan itu yang mengundang bahaya kepada pihak lawan.

“Jadi ketiadaan dia pun orang kata mungkin ada sedikit kesan kepada pasukan, tetapi saya jangka Cheng Hoe mesti ada pengganti Faisal. Ia terpulang kepada bagaimana percaturan yang mahu dibentuk Cheng Hoe.

“Kalau beliau (Cheng Hoe) nak gunakan Ramadhan, dia boleh gunakan Ramadan dan mungkin juga ada pemain lain termasuk tonggak naturalisasi atau warisan yang boleh bermain tempat dia,” katanya ketika dihubungi.

Faisal berdepan tempoh pemulihan panjang selepas mengalami kecederaan ketika beraksi bersama Harimau Malaya dalam kempen Piala ASEAN FIFA di Indonesia, bulan lalu.

Situasi itu menyaksikan Faisal atau lebih mesra disapa Mickey bakal terlepas dua aksi persahabatan antarabangsa di Guangzhou menentang pasukan ranking ke-96 dunia, China pada 14 November ini dan berdepan Yaman yang berada di ranking 144 (17 November).

Cheng Hoe dalam laporan semalam menjelaskan situasi itu tidak menjejaskan perancangan pasukan dan pihaknya sedang meneliti pemain yang akan menggantikan tempat Faisal.