KUALA TERENGGANU: Kekalahan kepada pendatang baharu Liga Super, Imigresen FC pada Ahad lalu memberikan pengajaran berguna buat pemain untuk kembali bangkit.
Pada masa sama pemain perlu melupakan episod malang itu selepas tumpas 1-2 pada aksi pertama Pusingan 16 Piala FA kepada skuad The Mighty Tigers kendalian Yusri Che Lah di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang.
Itu ditegaskan ketua jurulatih Terengganu FC (TFC), Badrul Afzan Razali yang mengidam mata penuh berdepan kelab Brunei, DPMM FC di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, malam esok biarpun sedar ia tidak semudah perancangan di kertas.
“DPMM FC bukan calang-calang pasukan, kita tidak boleh ambil mudah lebih-lebih lagi bermain di tempat lawan, tapi pemain perlu ada mentaliti untuk menang.
“Pada masa sama saya ingatkan pemain agar mengambil iktibar kekalahan kepada Imigresen tempoh hari untuk kembali bangkit memburu kemenangan,” ujarnya.
Mengulas lanjut, beliau bakal melakukan sedikit rombakan dalam kesebelasan utama pasukan selepas pemain lincah, Gabriel Silva atau ‘Gabi’ belum dapat beraksi lagi berikutan kecederaan hamstring dialaminya belum pulih sepenuhnya.
“Akan ada rombakan kecil dalam pasukan untuk berdepan DPMM FC kerana Gabi belum bersama pasukan manakala Junior Sam belum cergas sepenuhnya daripada kecederaan paha yang dialaminya sebelum ini.
“Tapi itu bukan alasan buat kami, saya harap barisan pertahanan perlu perbaiki lagi prestasi mereka manakala penyerang tidak boleh melepaskan peluang terbaik untuk menjaringkan gol,” ujarnya.
Berdasarkan kedudukan terkini Liga Super, TFC menghuni di tangga kedua di belakang Johor Darul Ta’zim (JDT) dengan mengutip empat mata menerusi dua perlawanan.