sukan

Terengganu ‘tempang’ tanpa 5 tonggak

KUALA TERENGGANU: Terengganu FC (TFC) sedikit tempang apabila turun berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT) selepas lima pemain tonggaknya tidak dapat disenaraikan.

Finalis Piala Malaysia musim lalu itu bakal membuat perhitungan pada aksi separuh akhir kedua dengan skuad Harimau Selatan dalam saingan piala berprestij itu di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri petang esok bagi merebut tiket ke pentas akhir.

Ketua jurulatihnya, Badrul Afzan Razali berkata, penjaga gol utama, Muhammad Rahadiazli Rahalim terpaksa diketepikan bersama Argzim Redzovic, Akram Mahinan, Muhammad Azam Azmi Murad dan kapten, Safawi Rasid.

Bagaimanapun jurulatih kelahiran Kemaman itu tidak begitu resah untuk berdepan dengan juara bertahan itu kerana beliau bagaikan sudah ada ramuan tersendiri untuk ‘memerangkap’ pasukan lawan selepas tiga pertemuan dengan skuad itu pada musim ini.

Namun beliau mengingatkan kepada anak buahnya agar beraksi bagaikan perlawanan akhir walaupun sedar tugas berat bakal menanti pasukannya lebih-lebih lagi beraksi di tempat lawan.

“Rahadiazli mengalami kecederaan paha ketika aksi Liga Super berdepan JDT pada minggu lalu manakala Redzovic yang beraksi baik biarpun jarang diturunkan cedera bahagian lututnya juga ketika berdepan JDT.

“Pemain tengah, Akram pula tidak dapat diturunkan kerana menerima dua kad kuning sekali gus digantung satu perlawanan manakala Safawi dan Azam Azmi tidak dapat disenaraikan kerana terikat dengan perjanjian sebagai pemain pinjaman.

“Bagaimanapun penyerang import, Ismaheel Akinade yang dilaporkan sebelum ini mengalami kecederaan sudah semakin pulih dan dijangka dapat beraksi pada aksi separuh akhir kedua itu.

“Ketiadaan lima pemain tonggak berkenaan sudah pasti sedikit sebanyak menjejaskan persiapan kami berdepan JDT kerana perlawanan itu pastinya sukar buat kami lebih-lebih lagi bertandang stadium mereka, tapi saya percaya pemain gantian mampu memikul tanggungjawab yang diberikan dengan sebaik mungkin.

“Pada masa sama pemain berazam untuk memperagakan aksi terbaik bagi mengelak daripada dibolosi dan saya juga pesan kepada mereka agar kekal fokus, disiplin dan bermain mengikut perancangan.

sumber:-BH

“Buat barisan penyerang, manfaatkan peluang dengan jaringan selain saya ingatkan kepada pemain agar tidak mengulangi skrip hilang fokus pada penghujung perlawanan bagi mengelak daripada dihukum,” kata Badrul Afzan.