KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari optimis gabungan pemain profesional dan atlet di bawah naungan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mampu memberi impak besar dalam kempen Piala Thomas 2026 di Horsens, Denmark, hujung April ini.
Keyakinan itu timbul susulan kesediaan pemain profesional lelaki negara, Lee Zii Jia untuk membantu kekuatan skuad negara bagi menamatkan penantian gelaran yang kali terakhir diraih pada 1992.
“Saya ucapkan terima kasih kepada Lee Zii Jia dan pasukan kerana bersetuju untuk bersama-sama kita membawa pulang kegemilangan Piala Thomas yang kali terakhir pada 1992.
“Insya-Allah kejayaan itu akan berulang lagi dengan adanya kombinasi dan kerjasama yang baik daripada pasukannya dan semua pemain yang bersetuju untuk bersama dengan kita,” katanya.
Dr Mohammed Taufiq berkata demikian selepas Majlis Pelancaran My Athlete Center dan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman bersama MACE Partners di Majlis Sukan Negara (MSN), hari ini.
Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Prestasi BAM, Datuk Seri Lee Chong Wei mendedahkan Zii Jia mengemukakan beberapa syarat kepada badan induk itu sebelum membuat keputusan menyertai skuad Piala Thomas di Horsens, Denmark dari 24 April hingga 3 Mei depan.
Bagaimanapun, tidak lama selepas pendedahan itu, Zii Jia menerusi satu kenyataan mengesahkan kesediaannya membantu Malaysia dalam kempen Piala Thomas 2026 tanpa mengemukakan sebarang tuntutan kepada BAM.
Dr Mohammed Taufiq percaya keputusan yang dibuat Zii Jia itu atas dasar semangat cintakan negara.
“Terima kasih dan penyertaan ini dilakukan atas dasar semangat cintakan negara, atas dasar semangat untuk memberikan yang terbaik untuk negara dan saya sudah berjumpa dengan presiden dan pasukan BAM untuk membincangkan perkara ini dan saya sambut baik keputusan dilakukan.
“Insya-Allah badminton kita terus maju dan membawa pulang kemenangan yang besar untuk Malaysia,” kata Dr Mohammed Taufiq.