sukan

Terima kasih Tunku Mahkota Ismail – FAM

KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menyifatkan usaha dan inisiatif Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail dalam merevolusikan pasukan kebangsaan sudah menampakkan impak yang positif.

Presiden FAM, Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub menjelaskan sentuhan Tunku Mahkota Ismail mula menampakkan impak positif selepas kejayaan Malaysia membenam Vietnam 4-0 dalam aksi kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, kelmarin.

Beliau berkata, kemenangan itu cukup istimewa kerana selepas 11 tahun menunggu akhirnya Harimau Malaya dapat mengalahkan Vietnam yang dianggap gergasi bola sepak di rantau Asia Tenggara.

“Bagi mewakili Jawatankuasa Eksekutif FAM, saya ingin mengucapkan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada Tunku Mahkota Ismail atas inisiatif dan komitmen baginda dalam merevolusikan pasukan Harimau Malaya.

“Junjung kasih kepada Tunku Mahkota Ismail yang sentiasa prihatin serta memberikan sokongan dan bantuan kepada FAM dalam usaha meningkatkan lagi prestasi skuad Harimau Malaya.

“Apa yang boleh saya katakan, kejayaan ini satu permulaan yang cukup positif buat pasukan Harimau Malaya dan bola sepak Malaysia secara keseluruhannya,” kata Mohd Joehari dalam kenyataan.

Terdahulu, beliau mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM Kali Ketiga Bagi Penggal 2025-2029 yang diadakan di Wisma FAM, Kelana Jaya, hari ini.

Selain itu, Mohd Joehari turut berterima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pihak kerajaan atas bantuan khususnya dari segi kewangan bagi memperkasa pasukan kebangsaan.

“Peruntukan daripada Kerajaan Malaysia ini pastinya akan meningkatkan lagi motivasi buat pemain pasukan kebangsaan bagi mencapai lebih banyak kejayaan pada masa hadapan,” katanya.

Malah, beliau juga merakamkan penghargaan kepada seluruh penyokong Harimau Malaya termasuk Ultras Malaya yang kembali menggegarkan Stadium Nasional.

sumber:- BH

“Semangat inilah yang kita mahukan kerana dengan sokongan padu daripada mereka yang kita anggap sebagai ‘pemain ke-12’, pasukan Harimau Malaya mendapat suntikan semangat beraksi lebih baik,” katanya.